Mesir kemukakan pelan pembinaan semula Gaza, seru pembentukan pentadbiran peralihan
Bernama
Mac 4, 2025 23:54 MYT
Mac 4, 2025 23:54 MYT
Pembinaan semula Gaza perlukan pembentukan pentadbiran dan keselamatan peralihan bagi memastikan prospek penyelesaian dua negara dipertahankan. - AP
KAHERAH: Mesir telah merangka pelan pembinaan semula Semenanjung Gaza yang memerlukan pembentukan sebuah pentadbiran peralihan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Menurut saluran berita berkaitan kerajaan, Al-Qahera News, pelan itu menyatakan bahawa pembinaan semula Gaza memerlukan pembentukan pentadbiran dan keselamatan peralihan bagi memastikan prospek penyelesaian dua negara dapat dipertahankan.
Ia mengusulkan pembentukan jawatankuasa pentadbiran Gaza bagi menguruskan wilayah itu dalam tempoh peralihan selama enam bulan. Jawatankuasa ini akan bersifat bebas dan dianggotai teknokrat bukan partisan, beroperasi di bawah Kerajaan Palestin.
"Penyelesaian dua negara adalah penyelesaian terbaik dari sudut undang-undang antarabangsa dan perspektif masyarakat antarabangsa," menurut pelan itu.
Pelan Mesir itu menekankan bahawa Gaza adalah sebahagian daripada wilayah Palestin.
"Percubaan untuk merampas harapan rakyat Palestin terhadap taraf negara atau mengambil tanah mereka hanya akan membawa kepada lebih banyak konflik dan ketidakstabilan," menurut pelan itu lagi.
Pelan itu turut menekankan kepentingan mengekalkan gencatan senjata di Gaza.
Ia menggariskan tempoh pelaksanaan selama tiga tahun, yang merangkumi program pemulihan awal dan usaha pembinaan semula secara selari, sambil bergerak ke arah penyelesaian dua negara sebagai sebahagian daripada penyelesaian politik yang lebih meluas.
Selain itu, pelan berkenaan mencadangkan penubuhan zon penampan selepas kerja-kerja pembersihan runtuhan serta pembinaan 20 kawasan perumahan sementara dengan penyertaan syarikat dari Mesir dan luar negara.
Mesir menganjurkan sidang kemuncak tergempar pemimpin Arab pada Selasa bagi menetapkan pendirian bersama mengenai isu Palestin serta membentangkan cadangan balas terhadap rancangan Amerika Syarikat (AS) untuk memindahkan penduduk Gaza.
Mesyuarat peringkat tinggi itu dijangka membincangkan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza dan memperkukuh usaha yang dipimpin negara-negara Arab bagi mencapai penyelesaian politik.
Pelan Mesir itu dijangka menjadi antara topik utama perbincangan, ketika pemimpin Arab berusaha merangka kerangka pembinaan semula Gaza sambil menolak rancangan luar yang mengancam kedaulatan Palestin.
Presiden AS Donald Trump sebelum ini berulang kali mencadangkan untuk "mengambil alih" Gaza dan memindahkan penduduknya bagi membangunkan wilayah itu sebagai destinasi pelancongan.
Bagaimanapun, rancangannya ditolak secara meluas oleh dunia Arab dan masyarakat antarabangsa, yang menyifatkannya sebagai satu bentuk pembersihan etnik.
-- BERNAMA