Mesir, Jordan, Rusia, PBB kutuk serangan di lapangan terbang Aden

Bernama
Disember 31, 2020 12:09 MYT
Orang ramai bertempiaran lari susulan kejadian letupan di lapangan terbang Aden, Yaman, 30 Dis, 2020. (Foto AP)
KAHERAH/AMMAN: Mesir pada Rabu mengecam insiden letupan yang menyasarkan lapangan terbang Aden di selatan Yaman dan menyifatkan ia "tindakan yang keji", lapor agensi berita Xinhua memetik kenyataan Kementerian Luar Mesir.
Kaherah sentiasa teguh menyokong Yaman dalam perjuangannya untuk mengembalikan keamanan dan kestabilan serta mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap mereka yang cedera pulih segera.
Jordan turut mengutuk serangan yang dilaporkan telah membunuh puluhan nyawa itu
Jurucakap Kementerian Luar Deifallah Fayez dalam satu kenyataan menegaskan Jordan menolak sebarang bentuk keganasan lebih-lebih lagi "serangan pengganas pengecut".
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut mengecam "serangan yang menyedihkan itu".
BACA: 26 maut dalam letupan di lapangan terbang Yaman
Setiausaha Agung Antonio Guterres mengulangi komitmen tegas PBB untuk menyokong usaha proses politik yang dipimpin Yaman untuk mencapai penyelesaian inklusif.
Moscow menyokong siasatan menyeluruh dan objektif dilakukan terhadap serangan itu, lapor agensi berita Sputnik memetik kenyataan Kementerian Luar Rusia.
"Moscow mengutuk sekeras-kerasnya tindakan jenayah itu. Kami mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakan-rakan mangsa," kata kenyataan itu.
Sekurang-kurangnya 22 orang terbunuh dalam tiga letupan menggegarkan lapangan terbang Aden pada Rabu sejurus selepas anggota kabinet baharu kerajaan tiba di ibu kota itu.
Dianggarkan 50 yang lain cedera.
Antara yang terkorban orang awam, pekerja lapangan terbang dan pegawai yang hadir menyambut ketibaan anggota Kabinet itu. Anggota kabinet dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sumber keselamatan berkata letupan itu menyasarkan ruang VIP di lapangan terbang, yang berada di bawah kawalan pasukan Majlis Peralihan Selatan (STC).
-- BERNAMA
#Yaman #serangan #Kaherah #Jordan #mengecam #keganasan #PBB #Rusia #lapangan terbang #Aden
;