Mesir gesa AS tekan Israel terlibat secara serius rundingan gencatan senjata di Gaza

Bernama
Ogos 6, 2024 15:15 MYT
Dr Badr Abdel Aati memberitahu Blinken mengenai peningkatan ketegangan yang sedang berlaku di rantau itu dan cara untuk membendungnya. - Reuters
KUALA LUMPUR: Menteri Luar Mesir Dr Badr Abdel Aati menggesa Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken memberi tekanan kepada Israel supaya menghentikan pertikaian dan terlibat secara serius dalam rundingan gencatan senjata di Gaza.
Kementerian Luar Negeri Mesir, dalam satu kenyataan berkata Abdel Aati dalam perbualan telefon dengan Blinken pada Isnin telah memberitahu rakan sejawatannya dari AS mengenai peningkatan ketegangan yang sedang berlaku di rantau itu dan cara untuk membendungnya.
Beliau berkata perkembangan sedemikian berisiko menggugat kestabilan situasi keselamatan dan berpotensi meluaskan konflik ke tahap yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Semasa perbualan itu kedua-dua pihak juga bertukar pandangan mengenai status rundingan gencatan senjata dan bersetuju bahawa usaha dan penyelarasan perlu dikekalkan untuk menggalakkan pihak-pihak yang terlibat mencapai perjanjian gencatan senjata secepat mungkin.
-- BERNAMA
#badr abdel aati #Amerika Syarikat #Anthony Blinken #tekanan kepada israel #gencatan senjata #Menteri Luar Mesir