Mesir galak industri pelancongan perubatan manfaat sumber semula jadi

Bernama
Mei 15, 2023 06:15 MYT
Pusat peranginan Laut Merah telah bersiap sedia menerima pelancong perubatan pada April hingga Jun, dan Safaga, sebuah bandar di pesisir pantai tidak terkecuali. - Gambar hiasan
SAFAGA: Mesir yang mempunyai pelbagai sumber semula jadi seperti air mata air, air sulfur dan pasir panas, kini menarik kunjungan ramai pelancong yang bukan sahaja melancong untuk memenuhi masa lapang tetapi juga bagi tujuan perubatan.
Pusat peranginan Laut Merah telah bersiap sedia menerima pelancong perubatan pada April hingga Jun, dan Safaga, sebuah bandar di pesisir pantai tidak terkecuali.
Menurut Hany El-Nazer, seorang pakar dermatologi, Safaga adalah salah satu pusat perubatan terbesar di dunia untuk menyembuhkan penyakit psoriasis, lapor Xinhua.
Kemasinan air Safaga adalah 30 peratus lebih tinggi daripada Laut Mediterranean, membantu merawat beberapa penyakit kulit yang tidak dapat diubati, jelas El-Nazer.
Beliau menyebut bahawa kehadiran terumbu karang dalam air Safaga membantu menyembuhkan psoriasis.
Selain suhu sederhana pada April-Jun, pasir hitam yang kaya dengan mineral semula jadi di Safaga juga menjadi pilihan pelancong Eropah untuk mendapatkan rawatan semula jadi bagi beberapa penyakit.
Untuk menarik lebih ramai pelancong, hotel di Safaga turut menyediakan kawasan pantai bagi mereka yang menggemari mandian padang pasir sebagai kaedah rawatan, serta mengatur pasukan perubatan.
Vasily Bulshuf, seorang pelancong berusia 46 tahun dari Poland, sedang mandi pasir dan cahaya matahari, membenamkan dirinya hingga ke lehernya di pantai. Ini tahun kedua dia melancong ke sini untuk tujuan perubatan.
Selepas menjalani tempoh yang lama dan hanya bergantung kepada perubatan tradisional, Bulshuf berkata pelancongan terapeutik membantu menyelesaikan 80 peratus masalah kesihatannya.
Waheed Zantay, warga Mesir berusia lebih 50 tahun, datang ke Safaga untuk rawatan penyakit kulit atas nasihat doktornya.
"Saya merasakan kesihatan semakin baik selepas menjalani 15 sesi sebulan, tidur dalam pasir hitam dan tangki yang penuh dengan air masin," kata Zantay.
Selain Safaga, Mesir kaya dengan pelbagai tempat pelancongan perubatan lain seperti Bahariya Oasis, Kharga Oasis dan Siwa Oasis, yang dikelilingi oleh gunung, air sulfur dan air mata air, membantu menyembuhkan penyakit reumatik, penyakit kulit dan gastritis, menurut pakar pelancongan, Ahmed Amer.
-- BERNAMA
#Mesir #pelancongan #perubatan #air masin
;