Mesir dakwa Israel sabotaj rundingan gencatan senjata

Astro Awani
Februari 13, 2024 07:45 MYT
Kementerian Luar Mesir berkata, Smotrich terus membuat kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan menghasut, hanya mendedahkan "keinginan rejim Zionis itu untuk terus melakukan pembunuhan dan kemusnahan". - Foto REUTERS
KAHERAH: Mesir mendakwa Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich sabotaj rundingan gencatan senjata Gaza di Kaherah.
Laporan Times of Israel menyebut, ia susulan tindakan Smotrich yang menggesa Perdana Menteri Benjamin Netanyahu supaya tidak menghantar wakil Israel ke Kaherah untuk rundingan tebusan.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Mesir berkata, Smotrich terus membuat kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan menghasut, hanya mendedahkan "keinginan rejim Zionis itu untuk terus melakukan pembunuhan dan kemusnahan".
Tindakan itu, dakwa Mesir, telah mensabotaj sebarang percubaan untuk membendung krisis di Semenanjung Gaza.
Kementerian itu menganggap kenyataan sedemikian tidak boleh diterima sama sekali, kerana Mesir mempunyai kawalan penuh ke atas wilayahnya dan tidak membenarkan mana-mana pihak melibatkan nama Mesir dalam sebarang percubaan yang gagal.
Mesir menganjurkan pusingan baharu rundingan, di bawah tajaan Mesir-Qatar dengan matlamat untuk menghentikan perang di Semenanjung Gaza dan membebaskan tahanan Palestin dan Israel.
#Bezalel Smotrich #sabotaj #gencatan senjata #Gaza
;