Mesir benarkan protes awam tanda sokongan kepada rakyat Palestin

Astro Awani
Oktober 19, 2023 06:15 MYT
Orang ramai berhimpun melakukan protes di Kaherah, Mesir, sebagai tanda sokongan kepada rakyat Palestin ketika konflik antara Israel dan Hamas masih belum reda. - Foto REUTERS
KAHERAH: Seluruh rakyat Mesir diseru mengadakan protes di seluruh negara pada hari ini (Jumaat) sebagai tanda sokongan kepada rakyat Palestin dan kepada pendirian Presiden Abdel-Fattah el-Sisi yang tidak membenarkan penduduk Gaza berpindah ke Mesir.
"Sekiranya rakyat Mesir diminta untuk keluar bagi menyatakan penolakan terhadap idea ini, anda akan melihat berjuta-juta rakyat Mesir menyokong pendirian Mesir," kata Sisi.
Sebuah gabungan parti politik yang bersifat pro-kerajaan telah menyatakan sokongan mereka terhadap kenyataan Sisi dan mengatakan bahawa mereka telah mendapatkan kebenaran untuk mengadakan demonstrasi di lokasi-lokasi yang ditetapkan di seluruh Mesir, menurut media kerajaan Mesir dan media tempatan.
Ini akan menjadi protes awam yang diluluskan kali pertama oleh kerajaan Mesir sejak Sisi mengambil alih kuasa.
Undang-undang anti-protes yang ketat dan tindakan keselamatan yang keras terhadap perbezaan pendapat telah menghalang protes awam selama beberapa dekad terakhir.
Protes menentang serangan Israel ke atas Gaza diadakan di beberapa universiti di Mesir pada hari Rabu.
Beberapa pertubuhuan profesional turut menganjurkan demonstrasi kecil, dengan beberapa orang bersorak menyokong pendirian Sisi.
Dalam konteks ini, Mesir yang telah menjadi tuan rumah kepada berjuta migran risau dengan kemungkinan beratus ribu pelarian Palestin merentasi sempadan ke wilayahnya.
Untuk rekod, lebih daripada dua juta rakyat Palestin tinggal di Gaza.
Sisi pada minggu lalu berkata, negaranya cuba untuk membantu – namun, dengan batasan.
"Oleh tentu kita bersimpati. Tetapi perlu berhati-hati, sementara kita bersimpati, kita mesti sentiasa menggunakan akal fikiran kita untuk mencapai keamanan dan kedamaian dengan cara yang tidak memberi kita terlalu banyak kos," kata beliau.
#Perang Palestin-Israel #Mesir #protes awam #Presiden Abdel-Fattah el-Sisi
;