Mesir bebaskan wartawan Al Jazeera selepas empat tahun dalam tahanan
Reuters
Februari 7, 2021 13:12 MYT
Februari 7, 2021 13:12 MYT
CAIRO: Pihak berkuasa Mesir pada Sabtu membebaskan seorang wartawan yang bekerja untuk rangkaian televisyen Al Jazeera Qatar, yang ditahan dalam tahanan sebelum perbicaraan selama lebih dari empat tahun, lapor Reuters.
Mahmoud Hussein, warganegara Mesir yang ditahan pada Disember 2016 sejurus tiba di Kaherah dari percutian di Doha, dituduh menyebarkan berita palsu, menyertai kumpulan haram dan menerima dana asing.
Dia dibebaskan selepas Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain dan Mesir bersetuju pada Januari untuk memulihkan hubungan diplomatik, perdagangan dan perjalanan dengan Qatar,
Hubungan negara-negara terbabit mengalami masalah sejak 2017 susulan dakwaan Qatar menyokong keganasan, namun ia dinafikan oleh Doha.
Mahkamah Kaherah memerintahkan pembebasan Hussein dengan 'langkah berjaga-jaga', sementara menunggu siasatan pada 1 Februari, kata saudaranya, Nageh Hussein, dan peguam, Taher Abou al-Nasr kepada Reuters.
Abou al-Nasr mengatakan bahawa pendakwa tidak membuat sebarang rayuan terhadap keputusan tersebut, seperti yang pernah dilakukan mereka terhadap keputusan serupa pada tahun 2019.
Masih tidak jelas tentang syarat pembebasannya tetapi Nageh Hussein memaklumkan, abangnya mungkin perlu melapor di balai polis setiap minggu.
Al Jazeera menyambut baik berita pembebasan Mahmoud.
"Tidak ada wartawan yang harus mengalami apa yang dilalui Mahmoud selama empat tahun ini hanya kerana menjalankan tugas," kata rangkaian TV itu dalam satu kenyataan di laman web mereka.
Mesir membebaskan tiga wartawan Al Jazeera, dan tiga lagi wartawan Australia, Mesir-Kanada dan Mesir, pada tahun 2015 selepas setahun dalam tahanan sementara menunggu perbicaraan.
Jawatankuasa Perlindungan Wartawan sebelum ini menuduh Mesir sengaja menahan wartawan di penjara untuk mengelakkan perbezaan pendapat, dan mendakwa 27 orang wartawan berada di penjara setakat Disember 2020.
Pihak berkuasa Mesir bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan menyatakan tindakan undang-undang hanya diambil terhadap mereka yang melanggar undang-undang.
#Al Jazeera
#Qatar
#penjara
#undang-undang
#Mesir
#Arab Saudi
#Emiriah Arab Bersatu
#wartawan
#Mahmoud Hussein