Mesir antara negara terjejas teruk akibat perubahan iklim
Bernama
September 12, 2022 11:40 MYT
September 12, 2022 11:40 MYT
KAHERAH: Menteri Sumber Air dan Pengairan Mesir Hani Suweilam pada Ahad berkata Mesir adalah antara negara paling terjejas di dunia akibat perubahan iklim, lapor Xinhua memetik laporan berita laman sesawang Ahram Online.
Menteri berkenaan membuat kenyataan itu semasa sesi pembukaan forum alam sekitar dan pembangunan mengenai persediaan Mesir menjadi tuan rumah sesi ke-27 Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP27) yang akan diadakan di bandar peranginan Laut Merah Sharm El-Sheikh pada November.
Mesir kini mengalami masalah kekurangan air, suhu yang tinggi, hakisan dan limpahan air masin ke dalam sumber air tawar, menurut menteri itu.
Pertambahan penduduk, pengaliran air yang tidak stabil (dari sungai seperti Sungai Nil) dan kesan iklim telah menyebabkan kekurangan bekalan air yang digunakan untuk tujuan minuman, pertanian dan perindustrian di beberapa negara, tambahnya.
Menteri itu juga menggesa semua negara untuk mengukuhkan kerjasama dalam menangani iklim yang melampau, serta menekankan keperluan meletakkan sektor air, makanan dan pertanian dalam agenda iklim global.
Mesir sedang berusaha keras dalam meningkatkan pengurusan air, termasuk memulihkan terusan untuk mengalirkan air dengan lebih baik kepada petani kerana ia merupakan unsur utama dalam pertanian dan keselamatan makanan, kata Suweilam.
Menteri itu menekankan keperluan untuk mengembangkan projek penyahgaraman air, mengkaji cara yang lebih murah dan lebih cekap untuk menggunakan semula air sisa.
-- BERNAMA