'Mesin plagiat': Penulis dan studio Hollywood 'bertelagah' tentang masa depan AI

Agensi
Mei 3, 2023 16:48 MYT
Perselisihan pendapat berhubung peranan AI adalah antara beberapa isu yang mencetus protes dalam kalangan penulis-penulis skrip di Hollywood. - Reuters
LOS ANGELES: Penulis di Hollywood sudah berdekad-dekad menghasilkan skrip tentang dunia fiksyen sains yang menggambarkan kemungkinan mesin mengambil alih dunia.
Kini, mereka berjuang demi memastikan robot tidak ‘merampas’ pekerjaan mereka.
Gabungan kesatuan Writers Guild of America (WGA) sedang memohon supaya penggunaan kecerdasan buatan (AI) dikekang dan dikawal dalam penulisan skrip filem dan televisyen.
Reuters melaporkan, studio-studio Hollywood, yang kini berhempas-pulas menjadikan perkhidmatan penstriman menjana keuntungan dan berdepan isu penyusutan hasil iklan, telah menolak idea berkenaan. Menurut mereka, studio produksi akan bersikap terbuka untuk membincangkan tentang teknologi baharu setahun sekali.
Seorang jurucakap bagi gabungan Motion Picture and Television Producers, yang dalam rundingan kontrak bagi pihak studio-studio produksi, tidak memberi sebarang komen.
Pertelagahan berhubung AI adalah antara beberapa isu yang mencetus protes dalam kalangan penulis-penulis skrip televisyen dan filem Hollywood pada Isnin.
Walaupun isu itu merupakan antara item terakhir dalam senarai rundingan WGA, yang antara lain mendesak agar tumpuan diberikan kepada penambahbaikan hal pampasan dalam era penstriman, perdebatan tentang peranan AI dalam proses kreatif bakal menentukan masa depan industri hiburan untuk dekad-dekad seterusnya.
Penulis skrip lakon layar John August, seorang ahli jawatankuasa rundingan WGA berkata, para penulis mempunyai dua kebimbangan berhubung AI.
“Kami tidak mahu hasil kerja kami menjadi ‘makanan' atau input kepada AI, dan kami tidak akan terlibat untuk membetulkan draf awal AI yang tidak rapi,” katanya.
Isu berkaitan AI sedang hangat diperkata sejak kebelakangan ini, berikutan peranannya yang berevolusi dalam pelbagai industri global.
#penulis skrip #studio hollywood #kecerdasan buatan #AI
;