MERS: Hong Kong keluarkan 'amaran merah' selepas pesakit ketujuh maut di Korea Selatan

Agensi
Jun 9, 2015 17:26 MYT
SEOUL: Pemerintah Hong Kong mengeluarkan ‘amaran merah’ bagi mereka yang mahu membuat lawatan bukan penting ke Korea Selatan berikutan angka kematian akibat virus Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS) kini meningkat kepada tujuh orang.
Selain itu terdapat lapan jangkitan baharu dilaporkan, menjadikan jumlah kesemuanya sebanyak 95 orang. Virus itu menular di Korea Selatan sejak seorang warganya dijangkiti virus tersebut ketika membuat lawatan kerja ke Arab Saudi.
Pesakit pertama telah didiagnosis pada 20 Mei lalu.
Dalam kes terbaharu, seorang wanita berusia 68 tahun dengan masalah jantung telah berjangkit dengan penghidap MERS di sebuah hospital di Seoul.
‘Amaran merah’ Hong Kong itu diterjemah sebagai ‘ancaman yang signifikan’ dan rakyatnya harus mengubah perancangan perjalanan dan mengelakkan lawatan yang tidak penting.
Pemerintah Korea Selatan berikrar mahu mengekang penularan wabak tersebut menjelang akhir minggu ini.
“Perhatian umum kini semakin meningkat terhadap impak negatif penularan MERS ke atas ekonomi dan masyarakat.
“Sebab itulah kami mengambil keputusan untuk melancarkan rindak balas aktif dengan matlamat mengakhiri krisis MERS dalam minggu ini,” ujar pemangku Perdana Menteri Korea Selatan Choi Kyung-Hwan.
BACA: Korea Selatan berikrar mengekang penularan wabak MERS
Sementara itu, Macau mewajibkan pemakaian topeng muka bagi rakyatnya yang mahu memasuki kawasan kemudahan rawatan kesihatan sebagai langkah berjaga-jaga terhadap MERS.
Rakyatnya juga dinasihatkan untuk mengelak daripada mengunjungi Korea Selatan melainkan atas- sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.
Setakat ini semua jangkitan di Korea Selatan mempunyai jejak kaitan dengan pesakit pertama dan semuanya berlaku dalam kawasan kemudahan kesihatan .
Mengikut data Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Eropah, krisis MERS di Korea Selatan adalah yang tertinggi di dunia selepas Arab Saudi.
Sejumlah 2,892 yang mempunyai kaitan secara langsung dengan pesakit MERS kini diletakkan dalam kuarantin, sama ada di hospital atau di rumah.
Pihak berkuasa juga menggunakan telefon bimbit untuk mengesan individu yang cuba melanggar peraturan kuarantin tersebut.
Kes-kes terbaharu di Korea Selatan telah menjadikan angka jangkitan MERS di seluruh dunia kepada 1,244 orang dengan sekurang-kurangnya 446 kematian.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) belum menyarankan sebarang larangan untuk berkunjung ke Korea Selatan, namun ribuan pelancong sudahpun membatalkan perancangan untuk melawat negara tersebut.
MERS adalah disebabkan oleh jangkitan koronavirus dari kumpulan yang sama yang menyebabkan penyakit Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) suatu ketika dahulu.
#wabak #virus #MERS #Korea Selatan #Sindrom Pernafasan Asia Barat
;