MERCY Malaysia hantar pasukan bantuan ke Filipina
Astro Awani
Januari 18, 2020 20:08 MYT
Januari 18, 2020 20:08 MYT
MERCY Malaysia menghantar sepasukan misi kemanusiaan yang terdiri daripada empat orang sukarelawan ke Pulau Luzon pada Ahad.
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan pada Sabtu, pasukan bantuan MERCY Malaysia akan bersama-sama pasukan sukarelawan Filipina dalam tempoh 48 jam.
"Edaran barangan bantuan kritikal seperti bekalan makanan, topeng N95 serta barangan pembersihan diri dibuat kepada semua mangsa yang dipindahkan," kata Ir. Amran Mahzan, Pengarah Eksekutif MERCY Malaysia menerusi kenyataan sama.
Ledakan Gunung Berapi Taal di Batangas telah menyebabkan amaran peringkat keempat dikeluarkan pihak berkuasa Filipina sejak minggu lalu.
Pada 12 Januari lalu, Institut Volkanologi dan Seismologi Filipina (PHIVOLCS) mengeluarkan amaran ledakan yang berbahaya dijangka berlaku selama beberapa hari.
Sejak itu, pihak berkuasa Filipina terpaksa melakukan pemindahan besar-besaran terutamanya membabitkan penduduk dalam radius 14 kilometer dari Tasik Taal.
Sejak beberapa hari lalu, lebih 632 gegaran direkodkan pada magnitud sekitar 1.2 sehingga 4.1 skala Richter.
Sehingga kini, 17,555 keluarga membabitkan 77,438 mangsa kini dipindahkan.
Sumbangan juga boleh dihantar menerusi Dana Kemanusiaan MERCY di nombor akaun Maybank 5621 7950 4126 atau melalui Philippines Relief Fund di laman web www.mercy.org.my .