Mercedes cipta sistem brek EV terbina pada motor elektrik

Amanz
November 26, 2024 13:30 MYT
Sistem ini tidak memerlukan angkup serta sistem hidraulik yang kompleks, menjadikan kenderaan lebih ringan dan membolehkan penggunaan tayar dengan profil lebih aerodinamik, meningkatkan kecekapan penggunaan bateri EV. -Amanz
KERETA elektrik (EV) menggunakan sistem brek regeneratif yang menyebabkan sistem brek fizikal dengan pad serta cakera tidak begitu digunakan.

Ringkasan AI
  • Mercedes-Benz telah mencipta sistem brek In-Drive yang meletakkan satu cakera brek dengan pad terus pada sistem pemandu dan motor kenderaan, mengurangkan keperluan untuk brek pada keempat-empat tayar.
  • Sistem ini tidak memerlukan angkup serta sistem hidraulik yang kompleks, menjadikan kenderaan lebih ringan dan membolehkan penggunaan tayar dengan profil lebih aerodinamik, meningkatkan kecekapan penggunaan bateri EV.
  • Sistem brek ini tidak perlu diselenggara sepanjang hayat kenderaan dan tidak mencemarkan udara kerana serbuk brek yang terhasil tidak disebarkan ke udara.

Ia hanya diperlukan dalam situasi kenderaan perlu dihentikan secara serta-merta. Ini menyebabkan komponen brek pada keempat-empat tayar sekadar menambah berat dan ruang.
Oleh itu, pereka di Mercedes-Benz telah mencipta sistem brek baharu khusus untuk EV.
Sistem In-Drive Brake yang dibangunkan ini meletakkan satu cakera brek dengan pad terus pada sistem pemanduan dan motor kenderaan.
Sekeping cakera bulat dengan pad brek diletakkan di dalam sebuah cangkerang tertutup yang disejukkan dengan air.
Cakera ini akan berputar bersama dengan motor elektrik. Apabila kenderaan perlu dihentikan dengan segera, cakera ini akan ditekan pada sekeping plat logam.
In-Drive Brake tidak memerlukan angkup serta sistem hidraulik yang kompleks. Serbuk brek yang terhasil pula tidak akan disebarkan ke udara kerana ia tertutup.
Menurut Mercedes-Benz, sistem ini tidak perlu diselenggara sepanjang hayat kenderaan digunakan dan juga tidak akan mencemarkan udara.
Kelebihannya ialah sistem brek tidak lagi perlu diletakkan pada keempat-empat tayar kenderaan serta bunyi brek dapat dikurangkan.
Kenderaan yang dihasilkan akan menjadi lebih ringan dan tayar dengan profil lebih aerodinamik boleh digunakan bagi meningkatkan kecekapan penggunaan bateri EV. -Amanz
#In-Drive Brake #Mercedes-Benz #sistem brek regeneratif #sistem brek baharu khusus untuk EV
;