Menyaman adik-beradik sendiri cemarkan nama baik ibu bapa kami - Hsien Loong

Bernama
Julai 3, 2017 17:30 MYT
Di Singapura, rumah Encik Lee dan hasrat Encik Lee sekalipun, turut tertakluk kepada kedaulatan undang-undang, kata Hsien Loong. - Gambar fail
"Menyaman adik-beradik saya sendiri di mahkamah akan hanya terus mencemarkan nama baik ibu bapa saya," kata Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong.
"Pada kesudahannya, kami tetap adik-beradik, dan kami adalah anak kepada ibu bapa kami," katanya dalam kenyataan menteri berkaitan 'Penyalahgunaan kuasa dalam 38 Oxley Road' pada persidangan Parlimen di sini hari ini.
"Ia akan turut mengheret proses ini selama bertahun-tahun, dan mengakibatkan lebih banyak gangguan dan kebimbangan kepada rakyat Singapura. Justeru, saya tidak akan memilih untuk berbalah tentang perkara ini di mahkamah," kata Hsien Loong, anak sulung Perdana Menteri pertama Singapura, mendiang Lee Kuan Yew.
Hsien Loong berkata beliau membawa perkara itu ke Parlimen disebabkan rakyat Singapura berhak mendapatkan jawapan lengkap daripada beliau dan kerajaannya.
"Parlimen mungkin bukan sebuah mahkamah perundangan, tetapi ia adalah badan tertinggi di negara ini," katanya.
Hsien Loong menegaskan banyak pihak yang bertanya kepadanya sebab beliau tidak mengambil tindakan undang-undang, untuk mencabar wasiat, atau menyaman kerana fitnah, atau mengambil tindakan undang-undang yang lain untuk menghentikan perbalahan ini dan membersihkan namanya.
"Kesemua ini adalah soalan yang mempunyai alasan yang sah. Saya menerima nasihat dan mempertimbangkan pilihan saya dengan amat teliti," katanya dan percaya, beliau mempunyai kes yang kukuh.
"Dalam keadaan biasa, hakikatnya, dalam apa jua keadaan lain yang boleh dibayangkan melainkan perkara seperti ini, saya semestinya akan saman oleh kerana dakwaan penyalahgunaan kuasa adalah amat serius, meskipun ia sama sekali tidak berasas dan hakikatnya ia adalah satu serangan bukan saja terhadap saya, tetapi juga kerajaan keseluruhannya," katanya.
Lee berkata setiap keluarga akan memahami bahawa pertikaian dalam keluarga sering berlaku, tetapi ia bukanlah sesuatu untuk dipertontonkan kepada umum.
"Sebab itulah saya berusaha dengan sebaik-baiknya untuk menangani perkara ini jauh daripada pandangan orang ramai," katanya.
Sebagai contoh, kata Hsien Loong, hujahan beliau kepada Jawatankuasa Peringkat Menteri disifatkan sebagai sulit.
"Tujuan saya bukanlah untuk terus bertelagah dengan adik-beradik saya, sebaliknya untuk membantu Jawatankuasa ini menjalankan tugasnya.
"Malangnya, adik-beradik saya membuat dakwaan terbuka terhadap saya. Maka, saya tidak mempunyai pilihan kecuali mempertahankan diri saya, dan mengeluarkan kenyataan serta fakta tentang perkara ini. Saya berpegang teguh kepada kenyataan yang telah saya siarkan tetapi jika boleh, saya sebenarnya tidak mahu pergi lebih lanjut.
"Hari ini, saya membuat kenyataan ini di Parlimen untuk memberi penjelasan kepada Anggota (Parlimen) dan rakyat Singapura, untuk menangani isu ini dengan tangkas agar rakyat Singapura dapat memahami apa yang sebenarnya berlaku dan kami boleh meletakkan noktah kepada perkara ini, harapan saya, buat selama-lamanya.
Perdana menegaskan bahawa legasi bapanya "lebih daripada sekadar sebuah rumah lama."
"Legasi Encik Lee adalah Singapura dan nilai yang kita junjung tinggi.
"Sebuah masyarakat padu, majmuk, meritokratik. Sebuah masyarakat yang adil dan saksama, dengan peraturan yang sama terpakai kepada setiap orang. Sama ada anda seorang Menteri, atau orang kebanyakan. Sama ada anda perdana menteri, atau anak perdana menteri pengasas. Anda terikat kepada undang-undang.
"Bahawa di Singapura, rumah Encik Lee dan hasrat Encik Lee sekalipun, turut tertakluk kepada kedaulatan undang-undang.
"Bahawa Kerajaan yang beliau bina berupaya untuk menerima dan menahan serangan yang hebat terhadap reputasi serta integriti, dan bangkit semula bukan sahaja dengan lebih bertenaga, malah terus kukuh.
"Ini adalah 'rumah' yang Encik Lee bina, bukan 38 Oxley Road," katanya.
-- BERNAMA
#adik-beradik #keluarga #Lee Hsien Loong #Lee Kuan Yew #Perdana Menteri #saman #Singapura
;