Menteri yakin Indonesia muncul sebagai kuasa ekonomi masa depan

Bernama
Julai 26, 2024 05:00 MYT
Karnavian menekankan bahawa Indonesia mesti menjadi negara prolifik dengan memanfaatkan sepenuhnya tenaga kerjanya yang besar, sumber asli yang banyak dan wilayah yang luas untuk menjadi ekonomi dominan. - Foto Instagram/Tito Karnavian
JAKARTA: Menteri Dalam Negeri Indonesia Tito Karnavian melahirkan keyakinan mengenai keupayaan negara itu muncul sebagai satu daripada kuasa ekonomi terkemuka dunia semasa anugerah Satu Inspirasi di Jakarta pada Khamis (25 Julai), lapor Agensi Berita Indonesia (Antara).
"Pelbagai institusi yang boleh dipercayai telah meramalkan bahawa Indonesia akan menjadi ekonomi keempat paling dominan di dunia. Saya antara yang optimis dengan ramalan itu," katanya, seperti yang dipetik daripada kenyataan pejabatnya di sini pada Jumaat.
Karnavian menyoroti kejayaan China dalam berubah menjadi kuasa ekonomi global, sambil menyatakan bahawa Indonesia juga mampu mencapai pencapaian serupa, asalkan negara itu menggunakan sumber dayanya yang besar dengan berkesan dan berterusan.
Menteri itu seterusnya menekankan bahawa setiap negara mempunyai peluang untuk bersaing dan berjuang untuk mencapai tahap gergasi ekonomi, memandangkan ketiadaan satu pihak berkuasa tertinggi global yang boleh menentukan semua negara secara menyeluruh.
"Mungkin sekarang, ramai yang ragu-ragu tentang perkara ini, tetapi saya percaya ia boleh berlaku," beliau mengulangi keyakinannya.
Beliau menekankan bahawa Indonesia mesti menjadi negara prolifik dengan memanfaatkan sepenuhnya tenaga kerjanya yang besar, sumber asli yang banyak dan wilayah yang luas untuk menjadi ekonomi dominan.
"Kami tidak melihat banyak negara diberkati dengan ketiga-tiga aspek itu. Saya fikir hanya China, India, Amerika Syarikat, Indonesia, Rusia, Mexico, Brazil dan Afrika Selatan yang menggunakan aset tersebut," katanya.
Dalam ucapannya, Karnavian turut memuji penganjuran acara Satu Inspirasi yang menyampaikan anugerah kepada tokoh dari pelbagai wilayah dan kepakaran.
Beliau melahirkan kepercayaan bahawa majlis itu akan memotivasikan bakat Indonesia untuk terus meningkatkan kapasiti dan prestasi mereka.
Antara yang hadir ialah naib presiden terpilih Gibran Rakabuming Raka; presiden pengarah Bank Rakyat Indonesia milik kerajaan, Sunarso dan presiden pengarah firma gas dan minyak milik kerajaan Pertamina, Nicke Widyawati.
-- BERNAMA
#gergasi ekonomi #Indonesia #paling dominan #negara prolifik
;