Menteri Vietnam makan stik bersalut emas cetus kemarahan
Sinar Harian
November 6, 2021 06:03 MYT
November 6, 2021 06:03 MYT
LONDON: Sebuah rakaman memaparkan gelagat seorang menteri Vietnam menikmati stik bersalut emas 24 karat dianggarkan berharga lebih AS$1,000 (RM4,160) di restoran mewah di London, United Kingdom (UK) telah mengundang kemarahan penduduk di negara itu yang bergelut dengan masalah kewangan.
Rakaman video menunjukkan Menteri Keselamatan Awam, To Lam berkunjung ke restoran Nusr-Et yang dinamakan sempena nama chef Turki terkenal, Nusret Gokce atau Salt Bae turut menjadi tular di media sosial pada Jumaat hingga terpaksa dipadamkan.
Kebanyakan pengguna media sosial berang dengan sikap beliau yang tidak prihatin dengan keadaan dihadapi rakyat yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.
“Ada pihak yang masih boleh berseronok dengan gaya hidup selebriti bertaraf dunia ketika rakyat negara ini sedang bergelut untuk meneruskan kehidupan,” kata pengguna di Facebook, Pham Viet Duc.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.