Menteri Scotland, Humza Yousaf ambil cuti paterniti
Agensi
Mac 5, 2024 10:00 MYT
Mac 5, 2024 10:00 MYT
MENTERI Pertama Soctland, Humza Yousaf akan mengambil cuti paterniti untuk memberi sokongan kepada isterinya yang dijangka melahirkan cahaya mata mereka pada Julai depan.
Minggu lalu, Humza mengumumkan isterinya, Nadia El-Nakla sedang hamil.
Humza juga akan menjadi menteri pertama yang akan menyambut kelahiran cahaya mata semasa memegang jawatan.
Beliau berpendapat, adalah penting untuk menunjukkan contoh bahawa tidak ada "pertentangan" dalam menjadi ibu bapa sekali gus memegang peranan kepimpinan utama.
Pasangan itu sebelum ini mempunyai seorang anak perempuan, Amal yang berusia empat tahun.
Nadia juga mempunyai soernag anak perempuan, Maya, 14, hasil perkahwinan pertamanya.
Bercakap kepada wartawan di Dumfries dan Galloway, Humza mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang mengirim ucapan tahniah buat beliau dan isterinya.
Dalam masa sama, Menteri Pertama Scotland itu mengakui, beliau dan isterinya "teruja dan sedikit ketakutan" untuk menerima kehadiran bayi itu.
"Saya pasti akan mengambil cuti paterniti. Saya sentiasa berhasrat untuk bersama-sama kedua-dua anak perempuan saya pada setiap masa… untuk menjadi bapa yang bertanggungjawab dan sebagai suami yang menyokong isterinya dengan sebaik yang saya mungkin.”
Humza bukan satu-satunya anggota kerajaan Scotland yang akan mengambil cuti ibu bapa tahun ini.
Sebaliknya, Setiausaha Ekonomi, Màiri McAllan baru-baru ini juga mengumumkan beliau juga sedang menanti kelahiran anak sulungnya pada musim panas.
Menurut Humza, kerajaan Scotland "menunjukkan contoh" berhubung kepentingan keluarga dan keseimbangan kerja.
"Saya fikir ia adalah penting, sama ada berita indah yang diterima oleh Màiri McAllan dari segi ketibaan cahaya mata baharu, atau sama ada berita saya sendiri.
“Tidak kira apa jawatan anda dan betapa sibuknya pekerjaan anda, bahawa ia sangat penting untuk menunjukkan contoh yang anda boleh… sudah tentu, mempunyai keluarga sementara masih berada dalam tanggungjawab kepimpinan yang penting.
"Saya tidak nampak percanggahan antara kedua-duanya. Tugas pertama dan keutamaan saya bukan sekadar menjadi Menteri Pertama tetapi juga memastikan bahawa saya juga seorang bapa kepada anak-anak saya,” kata Humza lagi.
Humza layak mengambil cuti paterniti sehingga dua minggu sebaik sahaja anaknya dilahirkan. - Agensi