Menteri Pertahanan Rusia buat penampilan pertama sejak cubaan pemberontakan Wagner

Bernama
Jun 26, 2023 21:19 MYT
Menteri Pertahanan Rusia Sergei Shoigu melawat pos pemerintah di zon operasi khas, menurut Kementerian Pertahanan Rusia pada Isnin. - Foto AP
VLADIVOSTOK: Menteri Pertahanan Rusia Sergei Shoigu melawat pos pemerintah di zon operasi khas, menurut Kementerian Pertahanan Rusia pada Isnin.
Ini adalah penampilan awam pertamanya sejak pemberontakan yang gagal oleh tentera upahan kumpulan Wagner, lapor Xinhua.
Kementerian mengeluarkan video yang menunjukkan Shoigu berada dalam penerbangan dan menghadiri mesyuarat dengan pegawai tentera di ibu pejabat tentera di zon operasi khas.
Menteri itu dilaporkan mendengar laporan daripada komander tentera Kolonel Jeneral Yevgeny Nikiforov mengenai situasi semasa di barisan hadapan.
Kremlin mencapai kata sepakat dengan Yevgeny Prigozhin, ketua kumpulan Wagner, melalui pengantaraan Presiden Belarus Alexander Lukashenko pada Sabtu malam.
Dalam pada itu, operasi rejim memerangi pengganas terhadap kumpulan tentera swasta Wagner telah dibatalkan di Moscow dan wilayah Moscow berikutan keadaan semasa kembali normal, kata kerajaan Rusia.
"Oleh kerana ketiadaan ancaman terhadap nyawa, kesihatan, harta benda dan kepentingan lain yang dilindungi undang-undang rakyat, ketua operasi memerangi pengganas, ketua Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Rusia untuk bandar Moscow dan wilayah Moscow memutuskan untuk membatalkan operasi rejim memerangi pengganas di Moscow dan wilayah Moscow dari 09.00 pagi waktu tempatan (1200 GMT) pada Isnin," kata Jawatankuasa Antikeganasan Kebangsaan Rusia dalam satu kenyataan.
Sementara itu, sekatan sementara di Moscow dan wilayah Moscow juga telah ditarik balik dan keadaan di wilayah Moscow kekal stabil pada masa ini.
Jawatankuasa Antikeganasan Kebangsaan Rusia pada Sabtu mengumumkan operasi rejim menentang pengganas diperkenalkan di bandar Moscow, wilayah Moscow dan wilayah Voronezh untuk menghalang kemungkinan tindakan pengganas selepas kumpulan tentera swasta Wagner dituduh cuba mengatur pemberontakan bersenjata.
-- BERNAMA
#Menteri Pertahanan Rusia #penampilan pertama #pemberontakan Wagner #Sergei Shoigu
;