Menteri Pertahanan Malaysia, Indonesia bincang keselamatan, kesiapsiagaan masa depan serantau
Bernama
April 30, 2024 21:42 MYT
April 30, 2024 21:42 MYT
JAKARTA: Pertemuan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan rakan sejawat dari Indonesia Prabowo Subianto hari ini membincangkan pelbagai isu termasuk cabaran keselamatan dan mempromosi kestabilan di rantau Asia Tenggara.
Kedua-dua menteri komited untuk terus menyokong ASEAN sebagai zon yang aman, bebas dan berkecuali sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan rantau ini di tengah cabaran semasa.
"Kita berbincang dan bersetuju bahawa soal untuk memastikan ASEAN Centrality dapat terus dijadikan sebagai panduan untuk mengemudi masa depan rantau ini," katanya kepada pemberita selepas kunjungan hormat ke atas Prabowo yang juga Presiden Terpilih Indonesia di Kementerian Pertahanan, di sini.
Dalam pertemuan itu, Mohamed Khaled menekankan kepentingan Indonesia sebagai negara yang maju dan makmur mampu membawa kepada keseimbangan antara ASEAN dengan negara-negara yang lain untuk menghadapi cabaran di rantau ini.
Kedua-dua menteri turut membincangkan inisiatif meningkatkan hubungan ketenteraan berasaskan perjanjian yang ditandatangani pada 2022 termasuk perisikan serta bidang sains dan teknologi dalam sektor pertahanan.
Beliau berkata pegawai di kementerian kedua-dua negara akan mengadakan perbincangan susulan terhadap kerjasama di beberapa fokus bidang berkaitan memandangkan "peperangan dan cabaran dalam sektor dan industri pertahanan bergantung pada sains dan teknologi."
"Kita juga bersetuju untuk memberi perhatian terutamanya dalam menangani cabaran keselamatan siber dan juga keganasan, pelaksanaan General Board Committee Meeting tahun ini di Kuala Lumpur pada bulan November atau Disember," katanya.
Perbincangan yang berlangsung selama dua jam turut menyentuh isu Myanmar, Laut Cina Selatan dan pergolakan di Timur Tengah.
Kedua-dua pemimpin bertemu buat kali kedua selepas pertemuan pertama di Kuala Lumpur pada 4 April lepas.
Ketibaan Mohamed Khaled dimulakan dengan lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan, sebelum memeriksa Kawalan Kehormat diiringi Timbalan Menteri Pertahanan Indonesia Leftenan Jeneral Muhammad Herindra.
Delegasi beliau termasuk Duta Besar Malaysia ke Indonesia Syed Md Hasrin Tengku Hussin, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Isham Ishak, Atase Pertahanan Brig Jen Azrin Iskandar Zulkaply dan Ketua Pengarah Malaysian Defence Intelligence Organisation Leftenan Jeneral Datuk Mohd Razali Alias.
-- BERNAMA