Menteri Pertahanan ASEAN gesa tumpuan ke arah menangani situasi di Asia Barat
Bernama
November 17, 2023 04:27 MYT
November 17, 2023 04:27 MYT
JAKARTA: Menteri-menteri Pertahanan ASEAN menyuarakan kebimbangan mereka mengenai situasi yang semakin meruncing di Asia Barat semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-17 dan mesyuarat ADMM-Plus ke-10 yang berakhir pada Khamis, menurut Kenyataan Pengerusi ASEAN.
Menyedari betapa pentingnya isu berkenaan, negara-negara anggota menggesa agar perhatian segera diberi dan mengadakan dialog membina demi menangani konflik yang sedang berlaku di Gaza, menurut kenyataan itu.
Mesyuarat yang berlangsung selama dua hari itu turut menyokong pembukaan segera koridor kemanusiaan bagi memudahkan penyampaian bantuan tanpa halangan kepada mereka yang terjejas akibat konflik itu.
"Sesi mesyuarat itu menyokong rundingan damai yang bertujuan mencapai penyelesaian dua negara berdasarkan sempadan sebelum 1967 mengikut undang-undang antarabangsa dan resolusi Majlis Keselamatan PBB yang berkaitan dimulakan," menurut kenyataan itu.
Menteri Pertahanan Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan dan rakan-rakan sejawatnya dari ASEAN menghadiri ADMM ke-17 dan mesyuarat ADMM-Plus ke-10 yang dipengerusikan oleh Menteri Pertahanan Indonesia Prabowo Subianto di sini.
Para menteri juga mengesahkan sokongan mereka terhadap Kenyataan bersama Pemimpin Majlis Kerjasama Teluk dan ASEAN pada 20 Okt mengenai perkembangan terkini di Gaza dan Kenyataan Menteri Luar ASEAN mengenai konflik bersenjata di Asia Barat yang meruncing baru-baru ini.
Mesyuarat itu menggesa gencatan senjata segera dan berkekalan, memberi keutamaan dalam melindungi orang awam termasuk komuniti ASEAN di situ dan pembebasan tebusan tanpa syarat.
Ia turut menggesa PBB, terutamanya Majlis Keselamatan untuk mencegah konflik itu daripada bertambah buruk dan menekankan perlindungan terhadap nyawa mereka yang tidak berdosa terutamanya rakyat Palestin.
Sementara itu, mereka juga mengeluarkan kenyataan bersama mengenai Wanita, Keamanan dan Keselamatan pada mesyuarat ADMM-Plus yang mengesahkan komitmen untuk melaksanakan Rancangan Serantau ASEAN serta memajukan agenda WPS menerusi pelan kerja 2024 hingga 2027.
Mesyuarat ADMM-Plus adalah platform untuk ASEAN dan lapan rakan dialognya membuat penilaian mengenai kerjasama keselamatan bagi keamanan dan pembangunan serantau.
Rakan-rakan dialognya termasuk Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia dan Amerika Syarikat.
-- BERNAMA