Menteri Pertahanan ASEAN gesa muktamadkan segera kod tatalaku Laut China Selatan

Bernama
November 15, 2023 05:00 MYT
Mohamad memimpin delegasi Malaysia menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN ke-17 (ADMM) dan ADMM Plus ke-10 selama dua hari, di Jakarta, 15 Nov 2023. --fotoBERNAMA
JAKARTA: Para Menteri Pertahanan ASEAN menggesa kod tatalaku komprehensif di Laut China Selatan dimuktamadkan pada kadar segera sejajar dengan undang-undang antarabangsa, termasuk UNCLOS.
Mereka menekankan pentingnya pelaksanaan penuh Deklarasi Tatalaku Pihak Berkepentingan, dan memuji langkah meningkatkan keyakinan seperti Kod Pertembungan Tanpa Sengaja di Laut, Garis Panduan untuk Pertembungan Udara Ketenteraan, serta Infrastruktur Komunikasi Langsung ASEAN.
"Langkah-langkah ini bertujuan meningkatkan komunikasi, saling mempercayai, dan mengurangkan ketegangan dan insiden di udara dan di laut," kata mereka dalam Deklarasi Bersama Jakarta yang dikeluarkan selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-17 di sini pada Rabu.
Menteri-menteri Pertahanan itu menekankan pentingnya memelihara keamanan, kestabilan, keselamatan dan kebebasan pelayaran serantau di Laut China Selatan serta keperluan untuk menahan diri daripada terlibat dalam aktiviti yang boleh meningkatkan konflik.
Mengakui inisiatif berterusan ASEAN dan persetujuan para pemimpin mengenai Konsensus Lima Perkara di Myanmar, mereka menekankan pentingnya petunjuk konkrit untuk memudahkan pelaksanaannya sambil menggesa semua pihak yang terlibat menghentikan dan mengekang keganasan.
Mereka menyedari potensi ancaman terhadap kestabilan dan keamanan serantau di tengah-tengah sifat kompleks cabaran keselamatan tradisional dan bukan tradisional, termasuk kelembapan ekonomi global dan perubahan geopolitik.
Tindakan secara kolektif juga perlu dalam menangani cabaran, memandangkan landskap geopolitik yang berkembang dan kesan persaingan kuasa-kuasa utama terhadap keselamatan dan kemakmuran serantau, menurut kenyataan itu.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Indonesia itu turut menerima pakai beberapa keberhasilan utama termasuk Program Kerja ADMM 2023-2026, Kertas Konsep Pelaksanaan Pandangan ASEAN Tentang Indo-Pasifik (AOIP) daripada Perspektif Pertahanan, Kertas Konsep mengenai Mengharmonikan Inisiatif ADMM dan ADMM-Plus.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat dua hari ADMM dan ADMM-Plus bersama Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Isham Ishak, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Mohamad Yani Daud serta pegawai kementerian.
-- BERNAMA
#Menteri Pertahanan ASEAN #Laut China Selatan #Kod Tatalaku #Deklarasi Tatalaku Pihak Berkepentingan
;