Menteri Perdagangan Indonesia letak jawatan untuk tumpu Pilihan Raya Presiden

Bernama
Februari 1, 2014 00:31 MYT
Menteri Perdagangan Indonesia Gita Wirjawan
Menteri Perdagangan Indonesia Gita Wirjawan mengumumkan peletakan jawatan kabinetnya berkuat kuasa 1 Feb ini bagi memberi tumpuan kepada kempen menjadi calon Partai Demokrat pada pilihan raya umum Presiden Indonesia tahun ini.
Parti Demokrat ialah parti pemerintah yang dipimpin Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono.
Dalam pengumuman pada Jumaat, Gita berkata pengundurannya dibuat berdasarkan kesedaran bahawa beliau berdepan dengan konflik kepentingan yang besar jika terus menjadi Menteri Perdagangan dan terlibat sepenuhnya dalam politik khususnya Partai Demokrat.
"Saya berterima kasih kepada keluarga dan semua rakan yang memberikan sokongan," kata Gita dalam sidang berita di sini.
Gita, yang dilantik sebagai Menteri Perdagangan oleh Susilo pada Oktober 2011 menggantikan Marie Elka Pangestu, adalah seorang daripada 11 orang yang menawarkan diri sebagai calon Presiden dari Partai Demokrat.
Turut menawarkan diri sebagai calon Presiden dari parti itu ialah Menteri Perusahaan Milik Negara (BUMN) Dahlan Iskan, Ketua Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Marzuki Alie dan Rektor Universiti Paramadina Anies Baswedan.
Kementerian Perdagangan kini menunggu keputusan Susilo mengenai pengganti Gita.
#Menteri Perdagangan Indonesia Gita Wirjawan #Partai Demokrat