Menteri Penyatuan Korea Selatan letak jawatan

Agensi
Jun 19, 2020 21:11 MYT
Kim Yeon-chul meletak jawatan pada Jumaat susulan ketegangan yang semakin meningkat dengan Korea Utara. Foto: Reuters
Menteri Penyatuan Korea Selatan, Kim Yeon-chul meletak jawatan pada Jumaat susulan ketegangan yang semakin meningkat dengan Korea Utara.
Menurutnya, beliau meletak jawatan kerana bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kekusutan sehingga memburukkan hubungan antara Korea Selatan dan Korea Utara.
"Terdapat beberapa ketegangan yang perlu dileraikan antara dua negara. Jika hubungan antara dua negara semakin memburuk, peleraian itu tidak akan menjadi.
"Jika kita tambahkan lagi ketegangan, ia susah untuk diselesaikan. Ia perlu dihentikan di sini. Saya berharap peletakan jawatan saya ini akan memberi peluang kepada kedua-dua negara untuk berdamai," katanya.
Yeon-chul menyerahkan surat peletakan jawatan tersebut dua hari lalu, sehari selepas Korea Utara meletupkan pejabat perhubungan negara itu dan Korea Selatan yang terletak di Kaesong.
BACA: Korea Utara letupkan pejabat perhubungan di Kaesong
Media tempatan melaporkan, Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in, menerima peletakan jawatan Yeon-chul, yang juga orang penting dalam hubungan negara itu dengan Korea Utara, tanpa sebarang penjelasan lanjut.
#Kim Yeon-chul #Korea Selatan #Korea Utara #letak jawatan #Menteri Penyatuan
;