Menteri Pengangkutan Singapura S. Iswaran bantu siasatan badan antirasuah - PM Lee
Bernama
Julai 12, 2023 12:07 MYT
Julai 12, 2023 12:07 MYT
SINGAPURA: Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong hari ini berkata Menteri Pengangkutan S. Iswaran kini sedang membantu Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) dalam siasatan kes yang didedahkan oleh biro itu.
Menurut Lee, pada 5 Julai pengarah CPIB memberi taklimat kepadanya mengenai kes yang didedahkan badan antirasuah itu dan meminta persetujuannya untuk membuka siasatan rasmi.
"Ini antara lain akan melibatkan soal siasat dengan Menteri Iswaran," kata Lee dalam kemas kini Facebooknya hari ini.
Lee menambah beliau memberikan pengarah CPIB persetujuannya pada 6 Julai, berikutan siasatan rasmi bermula pada 11 Julai.
"Menteri Iswaran kini sedang membantu CPIB dengan siasatan yang sedang berjalan," katanya.
Lee berkata beliau telah mengarahkan Iswaran untuk bercuti sehingga siasatan selesai.
Ketika ketiadaan Iswaran, perdana menteri berkata Menteri Negara Kanan Chee Hong Tat akan memangku tugas Menteri Pengangkutan.
Dalam pada itu, CPIB mengesahkan Iswaran sedang membantu siasatan.
"CPIB mengakui minat orang ramai dalam kes ini kerana seorang menteri sedang disoal siasat oleh CPIB. Memandangkan siasatan sedang dijalankan, CPIB tidak dapat memberikan butiran lanjut.
"CPIB akan menyiasat kes ini secara menyeluruh dengan keazaman yang kuat untuk membuktikan fakta dan kebenaran dan untuk menegakkan kedaulatan undang-undang," menurut CPIB dalam satu kenyataan.
Biro itu juga menyatakan Singapura mengamalkan pendekatan toleransi sifar yang ketat terhadap rasuah.
"CPIB menyiasat semua kes tanpa rasa takut atau pilih kasih dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti rasuah," katanya.
-- BERNAMA