Menteri Palestin mahu AS desak Israel buka lintasan Rafah

Astro Awani
Mei 30, 2024 10:30 MYT
Abu Ramadan menggesa Amerika Syarikat menekan Israel bagi membuka persimpangan Rafah untuk bantuan kemanusiaan. - Foto REUTERS
GENEVA: Menteri Kesihatan Palestin pada Rabu menggesa Amerika Syarikat untuk menekan Israel bagi membuka persimpangan Rafah untuk bantuan kemanusiaan.
Majed Abu Ramadan berkata tidak ada petunjuk bahawa pihak berkuasa Israel akan berbuat perkara berkenaan dalam masa terdekat.
"Tiada petunjuk bila mereka mahu membukanya.
"Bagaimanapun, saya berharap bahawa semua rakan kita dan masyarakat antarabangsa menekan keras terutamanya Amerika Syarikat, supaya persimpangan Rafah ini dibuka,” katanya kepada pemberita di luar Perhimpunan Kesihatan Sedunia di Geneva.
Abu Ramadan berkata penutupan lintasan itu menyukarkan keadaan dan bagai malapetaka.
Rafah merupakan pintu masuk utama untuk bantuan kemanusiaan sebelum Israel meningkatkan serangan ketenteraannya di sempadan Gaza awal bulan ini dan merampas kawalan lintasan dari pihak Palestin.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata penutupannya sempadan berkenaan telah menjejaskan keupayaannya untuk menghantar bekalan perubatan penting ke Semenanjung Gaza, yang telah menjadi sasaran serangan Israel.
Menurut agensi pelarian Palestin PBB (UNRWA), kira-kira satu juta orang telah melarikan diri dari bandar Gaza dalam tempoh tiga minggu lalu untuk berlindung daripada pengeboman merentasi kawasan yang padat penduduknya.
#Amerika Syarikat #AS #Gaza #WHO #Pertubuhan Kesihatan Sedunia #PBB
;