Menteri Palestin gesa siasatan segera serangan maut Israel di Hospital Kamal Adwan
Agensi
Disember 18, 2023 08:45 MYT
Disember 18, 2023 08:45 MYT
BEIT LAHIA: Menteri Kesihatan Palestin, Mai al-Kaila menggesa siasatan segera dilakukan susulan serbuan maut Israel ke atas hospital-hospital di Gaza.
Menurut Mai, siasatan perlu dilakukan susulan kegilaan tentera Israel menyerang warga Palestin dengan menggunakan jentolak (bulldozer) di hadapan hospital Kamal Adwan di utara Gaza.
Pada Sabtu, doktor dan saksi lain berkata, tentera Israel membedil khemah yang menempatkan pelarian Palestin yang tinggal berhampiran hospital.
Hospital Kamal Adwan merupakan salah satu daripada 11 hospital yang masih berfungsi di dalam Gaza sejak Israel melancarkan serangan tenteranya pada 7 Oktober.
Saksi memberitahu, tentera Israel sengaja menjadikan orang awam sebagai sasaran.
Menurut saksi juga, tentera zionis bertindak ganas dengan menolak rakyat Palestin dan menanam mereka hidup-hidup mengunakkan jentolak.
Justeru, saksi-saksi berpendapat, kesemua mereka yang melakukan jenayah ini harus dibawa ke muka pengadilan dan dibawa ke mahkamah jenayah antarabangsa.
Beberapa video yang dikongsi di media sosial turut menunjukkan rakyat Palestin diserang di bawah runtuhan di hadapan Hospital Kamal Adwan.
Tentera zionis juga menggunakan jentolak untuk memusnahkan kemudahan hospital.
Dalam masa sama, Susulan itu, Mai menggesa masyarakat antarabangsa untuk menyiasat apa yang berlaku di hospital berkenaan dan tidak mengabaikan "jenayah perang" yang berlaku di Gaza.
Zionis telah bertindak menahan 90 orang dalam serangan itu.
Pasukan Israel menyerbu hospital Kamal Adwan pada Selasa selepas mengepung dan membedilnya selama beberapa hari. - Agensi