Menteri New Zealand lepaskan jawatan selepas insiden letak tangan di lengan kakitangan

Agensi
Februari 24, 2025 07:45 MYT
Andrew Bayly mengumumkan pengundurannya dari Kabinet selepas insiden “meletakkan tangannya” di lengan atas seorang kakitangan. - Gambar Facebook
WELLINGTON : Seorang menteri New Zealand mengumumkan pengundurannya dari Kabinet selepas insiden “meletakkan tangannya” di lengan atas seorang kakitangan semasa perbincangan yang “tegang.”
Menteri Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna, Andrew Bayly, memberitahu pemberita, tingkah lakunya terhadap kakitangan tersebut adalah “agak berlebihan.”
“Atas perbuatan itu, saya sangat kesal,” katanya.
“Saya membawa perbincangan itu terlalu jauh dan saya meletakkan tangan di lengan … yang mana tindakan itu tidak sesuai.”
Bayly turut mengesahkan bahawa satu aduan telah dibuat berhubung insiden yang berlaku minggu lepas, namun enggan memberi butiran lanjut.
Ini merupakan kali kedua Bayly memohon maaf atas kelakuannya sebagai menteri selepas lawatannya ke sebuah syarikat di New Zealand pada Oktober lalu mencetuskan kontroversi.
Pada ketika itu, seorang pekerja menulis surat aduan yang menyatakan bahawa Bayly kelihatan seperti meminum alkohol, menggunakan bahasa kasar dan berulang kali memanggilnya sebagai “loser” malah menunjukkan isyarat “L” dengan jari di dahinya.
Bayly kemudian menghantar dua permohonan maaf, dengan menyatakan bahawa beliau “tersalah tafsir situasi” dan niatnya adalah dalam “nada bergurau.”
Beliau juga meyakinkan pekerja tersebut: “Saya tidak berada dalam keadaan mabuk semasa pertemuan itu.”
Walaupun meletak jawatan sebagai menteri selepas insiden terbaru ini, Bayly berkata, beliau akan terus berkhidmat sebagai Ahli Parlimen dan berhasrat untuk terus mewakili kawasan pilihannya.
Perletakan jawatan ini berlaku ketika kerajaan konservatif pimpinan Perdana Menteri Christopher Luxon, yang mula berkuasa pada November 2023 sedang menghadapi penurunan sokongan dalam tinjauan pendapat akibat peningkatan kos sara hidup.
Luxon mengesahkan bahawa insiden tersebut berlaku pada 18 Feb dan beliau menerima peletakan jawatan Bayly pada Jumaat, namun menangguhkan pengumuman itu untuk memberi masa kepada Bayly berbincang dengan keluarganya dan kakitangan.
“Saya rasa kami bergerak dengan pantas dalam minggu ini. Ia adalah langkah yang cukup cepat,” kata Luxon kepada pemberita.
Perdana Menteri New Zealand itu turut menyatakan Bayly memberitahunya bahawa beliau merasakan tindakannya “jauh tersasar daripada jangkaan yang ditetapkannya sendiri.”
Luxon juga menghargai keputusan Bayly untuk kekal sebagai Ahli Parlimen dan mengucapkan terima kasih atas sumbangannya yang “cemerlang” sebagai menteri.
Ketika ditanya sama ada Bayly berkemungkinan kembali memegang jawatan menteri pada masa hadapan, Luxon menjawab: “Jangan pernah kata tidak.”
Bayly telah digantikan sebagai Menteri Perdagangan oleh Scott Simpson, yang sebelum ini bertanggungjawab sebagai ketua disiplin parti dalam Parlimen. - Agensi
#menteri new zealand #Andrew Bayly #letak jawatan #letak tangan di lengan
;