Menteri-Menteri Luar ASEAN sokong keutamaan Laos untuk pertingkat ketersambungan, ketahanan
Bernama
Januari 29, 2024 05:45 MYT
Januari 29, 2024 05:45 MYT
KUALA LUMPUR: Pemukiman Menteri-menteri Luar ASEAN (AMM) di Luang Prabang berakhir pada Isnin yang menyaksikan sokongan sebulat suara untuk menjayakan keutamaan Laos selaku pengerusi badan serantau itu yang bertumpu kepada tema "ASEAN: Enhancing Connectivity and Resilience."
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Laos, Saleumxay Kommasith, dalam kenyataan selepas mempengerusikan pemukiman itu berkata negaranya menggariskan empat keutamaan - Meningkatkan Kesalinghubungan; Membentuk Masa Depan Inklusif dan Mampan; Berubah untuk Masa Depan Digital; dan Mempromosi Peranan Budaya dan Kesenian ASEAN.
Sementara itu, keutamaan di bawah Meningkatkan Daya Tahan ialah pembangunan pelan strategik untuk melaksanakan Wawasan Komuniti ASEAN 2045; Meningkatkan Pemusatan ASEAN; Menggalakkan Kerjasama Alam Sekitar: Daya Tahan terhadap Perubahan Iklim; Mempromosi Peranan Wanita dan Kanak-Kanak Ke Arah Transformasi Ketingkahlakuan di ASEAN; dan Mengubah Daya Tahan dalam Pembangunan Kesihatan ASEAN dalam Konteks Baharu.
"Kami juga menyambut baik Priority Economic Deliverables Laos, termasuk membuat kemajuan dalam penubuhan Grid Kuasa ASEAN," menurut kenyataan itu.
Menurut Kommasith, Menteri-menteri Luar ASEAN komited untuk melaksanakan Rangka Kerja Ekonomi Biru ASEAN melalui penubuhan Pasukan Petugas Penyelaras ASEAN mengenai Ekonomi Biru dan mengadakan mesyuarat pertamanya dan Forum Ekonomi Biru ASEAN Kedua tahun ini.
Mengenai rakan dialog, beliau berkata ASEAN menantikan penganjuran sidang kemuncak khas memperingati ulang tahun ke-50 hubungan dialog ASEAN-Australia di Melbourne pada 4 hingga 6 Mac 2024 dan Mesyuarat Menteri ASEAN-EU ke-24 yang akan diadakan di Brussels, Belgium, pada 2 Feb 2024.
Pemukiman AMM juga menerima permintaan Korea Selatan untuk mewujudkan Perkongsian Strategik Komprehensif pada 2024, sempena ulang tahun ke-35 hubungan dialog ASEAN-Korea Selatan.
"Kami juga menerima penetapan 2024 sebagai ASEAN-China Year of People-to-PeopleExchanges (ACYPPE) dengan majlis pelancaran ACYPPE di Fuzhou, Wilayah Fujian, China pada 1 hingga 2 Feb 2024," katanya.
Mengenai krisis di Myanmar, Menteri-menteri Luar ASEAN menggesa semua pihak di negara itu menghentikan serta-merta keganasan untuk mewujudkan persekitaran yang selamat dan kondusif bagi memastikan penyampaian bantuan kemanusiaan tepat pada masanya, tanpa halangan dan selamat kepada semua yang memerlukan tanpa diskriminasi.
"Kami menggesa semua pihak menegakkan undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan mengambil semua langkah yang perlu untuk memastikan perlindungan dan keselamatan semua orang awam," kata Kommasith.
Beliau berkata mereka menerima inisiatif antara Thailand dan Myanmar untuk meningkatkan bantuan kemanusiaan di sepanjang sempadan melalui Persatuan Palang Merah kedua-dua negara dan berharap melibatkan Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Pengurusan Bencana Bantuan Kemanusiaan (Pusat AHA) dalam menyertai pemantauan pengagihan bantuan kemanusiaan.
Pemukiman AMM juga mengesahkan pendirian bersatu ASEAN bahawa Konsensus Lima Perkara (5PC) kekal sebagai rujukan utama untuk menangani krisis politik di Myanmar, dengan objektif tunggal untuk memulihkan keamanan, kestabilan, dan resolusi politik komprehensif yang dimiliki dan diterajui oleh Myanmar.
ASEAN turut mengalu-alukan pelantikan bekas Menteri ke Pejabat Perdana Menteri Laos Alounkeo Kittikhoun sebagai Duta Khas Pengerusi ASEAN di Myanmar untuk 2024 bagi membolehkan blok 10 anggota itu meneruskan usahanya untuk menggalakkan kemajuan dalam pelaksanaan 5PC secara menyeluruh.
-- BERNAMA