Menteri-menteri Luar ASEAN puji komitmen, komunikasi terbuka antara Biden-Xi
Bernama
November 22, 2023 06:15 MYT
November 22, 2023 06:15 MYT
JAKARTA: Menteri-menteri Luar ASEAN menyambut baik pertemuan antara Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden dan Presiden China Xi Jinping pada 15 November di Woodside, California baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan, menteri-menteri berkenaan memuji komitmen kedua pemimpin terbabit bagi komunikasi terbuka dan pengurusan hubungan yang bertanggungjawab selepas pertemuan sebelum ini di Bali pada November 2022.
Mereka menyatakan bahawa kedua-dua negara sebagai Rakan Kongsi Strategik Komprehensif ASEAN dipuji kerana komitmen mereka terhadap prinsip utama, nilai bersama dan norma antarabangsa yang digariskan dalam pelbagai perjanjian.
Ini termasuk Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara, Deklarasi Sidang Kemuncak Asia Timur atau Deklarasi Bali dan ASEAN Outlook on the Indo-Pacific (AOIP).
Menteri-menteri itu juga menyatakan persetujuan bersama dalam memperkukuh kerangka serantau yang terbuka, telus, berdaya tahan dan inklusif berpaksikan undang-undang antarabangsa.
Mereka menekankan kepentingan ASEAN, berpandukan prinsip dan tujuan serta kepentingan membina kepercayaan dan keyakinan dalam kalangan negara-negara serantau.
"Sebagai rakan kongsi ASEAN sejak sekian lama, kami menggalakkan sokongan berterusan China dan AS kepada proses pembinaan Komuniti ASEAN dan kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran rantau ini berdasarkan kepentingan dan faedah bersama," menurut kenyataan itu.
ASEAN bersedia untuk bekerjasama dengan kedua-dua negara bagi menyokong dan memajukan pertumbuhan rantau ini, meningkatkan daya tahan terhadap cabaran yang mendatang, memastikan keamanan, keselamatan dan pembangunan serta menyumbang kepada kesejahteraan global, menurut Menteri-Menteri Luar ASEAN.
-- BERNAMA
#Menteri-menteri Luar ASEAN
#Presiden Amerika Syarikat Joe Biden
#Presiden China Xi Jinping
#Woodside California