Menteri Luar Rusia kutuk tindakan sekat pesawatnya ke Serbia
Astro Awani
Jun 6, 2022 21:29 MYT
Jun 6, 2022 21:29 MYT
MENTERI Luar Rusia, Sergei Lavrov mengutuk tindakan tiga negara Eropah Timur yang menghalang pesawatnya daripada berlepas ke Serbia.
Tegas Lavrov, perkara itu belum pernah berlaku sebelum ini dan beliau masih belum menerima penjelasan berhubung tindakan Bulgaria, Macedonia dan Montenegro berkenaan.
Kremlin bagaimanapun menyifatkan keputusan tiga negara itu menutup ruang udara mereka kepada pesawat rasmi Lavrov sebagai satu tindakan bermusuhan.
Susulan itu, Lavrov akan menjemput rakan sejawatannya dari Serbia untuk datang ke Moscow.
"Perkara utama ialah tiada siapa yang akan dapat memusnahkan hubungan kami dengan Serbia," katanya kepada media.
Kata Lavrov lagi, Barat jelas memperlihatkan keburukannya jika lawatan Rusia ke Serbia dilihat sebagai satu ancaman kepada penduduk sejagat.
Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri Serbia, Aleksandar Vulin kesal dengan halangan berkenaan sambil menyifatkan Lavrov rakan Serbia yang hebat.