Menteri Luar Quad gesa tamatkan keganasan di Myanmar
Bernama
Mac 3, 2023 21:11 MYT
Mac 3, 2023 21:11 MYT
NEW DELHI: Menteri luar Australia, India, Jepun dan Amerika Syarikat (Quad) pada Jumaat menggesa supaya keganasan yang berterusan di Myanmar dihentikan, selain menyokong usaha ASEAN untuk mencapai keamanan di negara bergolak itu.
Menteri-menteri kumpulan Quad itu mengadakan pertemuan di New Delhi untuk membincangkan perkembangan di rantau Indo-Pasifik selain isu serantau yang menjadi kepentingan bersama.
Mereka terdiri daripada Menteri Luar India Subrahmanyam Jaishankar, Menteri Luar Australia Penny Wong, Setiausaha Negara AS Antony Blinken dan Menteri Luar Jepun Yoshimasa Hayashi.
"Kami menekankan betapa pentingnya untuk mengekalkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran dan pada masa yang sama kami menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan yang semakin merosot di Myanmar.
"Untuk itu, kami menekankan perlunya keganasan dihentikan sepenuhnya selain membebaskan semua yang ditahan secara sewenang-wenangnya, penyelesaian isu melalui dialog, akses kemanusiaan tanpa halangan dan peralihan kepada sistem demokrasi persekutuan yang inklusif di Myanmar," kata menteri-menteri berkenaan dalam satu kenyataan bersama.
Kenyataan itu turut menyokong usaha yang diterajui ASEAN termasuk tugasan pengerusi ASEAN dan pejabat utusan khas untuk menamatkan konflik dan keganasan di Myanmar.
Quad turut menggesa pelaksanaan penuh Konsensus Lima Perkara ASEAN yang merangkumi pemberhentian serta-merta keganasan, mengadakan perbincangan untuk perdamaian politik dan pemberian bantuan kemanusiaan kepada pelarian yang kehilangan tempat tinggal.
Para menteri berkenaan juga mengecam pelancaran peluru berpandu balistik Korea Utara baru-baru ini, termasuk pelancaran Peluru Berpandu Balistik Antara Benua (ICBM) pada 18 Februari.
-- BERNAMA