Menteri Luar Palestin gesa Liga Arab, OIC bincang situasi Baitulmaqdis

Agensi
Disember 4, 2017 12:59 MYT
Menteri Luar Palestin gesa mesyuarat antara Ketua Liga Arab dan OIC mengenai situasi Baitulmaqdis. - Gambar Reuters
Menteri Luar Palestin, Riad Al-Maliki pada Ahad menggesa Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk mengadakan mesyuarat bagi membincangkan situasi di Baitulmaqdis, lapor agensi berita Turki Anadolu (AA).
Gesaan itu disuarakan, berikutan laporan bahawa Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dikatakan sedang bersiap sedia mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel.
Menurut kenyataan Kementerian Luar Palestin, diplomat Palestin itu mendesak mesyuarat tergempar diadakan menerusi perbualan telefon dengan ketua Liga Arab, Ahmed Abul-Gheit dan Setiausaha Agung OIC, Yousef al-Othaimeen,
Al-Maliki memberi amaran, langkah AS itu akan memberi kesan serius dan mewujudkan keadaan tidak stabil di wilayah Palestin serta rantau berkenaan.
Baitulmaqdis dilihat kekal menjadi intipati kepada konflik Israel-Palestin.
Semasa pemilihannya sebagai Presiden, Trump berjanji untuk memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.
#Amerika Syarikat #AS #Donald Trump #Islam #Israel #Kementerian Luar #menteri #pati #presiden #Turki
;