Menteri Luar Pakistan akan hadiri mesyuarat serantau di India
Bernama
April 20, 2023 21:30 MYT
April 20, 2023 21:30 MYT
NEW DELHI: Menteri Luar Pakistan Bilawal Bhutto Zardari akan menghadiri mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) di India bulan depan,
Menteri-menteri luar kumpulan serantau itu akan bertemu di negeri Goa pada 4 dan 5 Mei.
"Penyertaan kami dalam mesyuarat itu mencerminkan komitmen Pakistan terhadap Piagam SCO dan proses serta kepentingan yang Pakistan berikan kepada rantau itu dalam keutamaan dasar luarnya," kata jurucakap Kementerian Luar Mumtaz Zahrah Baloch semasa taklimat mingguan media di Islamabad pada Khamis.
SCO dianggotai China, India, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Pakistan, Rusia, Tajikistan dan Uzbekistan.
India kini memegang jawatan presiden.
Ini adalah kali pertama dalam tempoh 12 tahun seorang menteri luar Pakistan mengunjungi India dan menandakan lawatan berprofil tinggi pertama sejak Nawaz Sharif ketika menjadi perdana menteri, melawat New Delhi pada Mei 2014 untuk menghadiri majlis angkat sumpah Perdana Menteri Narendra Modi.
Hubungan antara kedua-dua negara di tahap paling rendah berikutan pemansuhan status autonomi terhad wilayah Jammu dan Kashmir oleh India pada Ogos 2019.
Sebagai protes, Pakistan menggantung hubungan perdagangan dan pengangkutan dengan India dan mengharamkan filem India.
-- BERNAMA