Menteri luar Pakistan akan hadiri mesyuarat pendidikan wanita Afghanistan di Bali
Bernama
Disember 7, 2022 13:13 MYT
Disember 7, 2022 13:13 MYT
NEW DELHI: Menteri Luar Pakistan Bilawal Bhutto Zardari akan menghadiri Forum Demokrasi Bali (BDF) dan Persidangan Antarabangsa Pendidikan Wanita Afghanistan pada Khamis di Indonesia.
Kedua-dua persidangan itu berlangsung di pulau Bali.
Mesyuarat untuk mempromosi pendidikan wanita Afghanistan itu anjuran bersama kerajaan Indonesia dan Qatar.
Bilawal akan mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi, menurut kenyatan Kementerian Luar Pakistan pada Selasa.
Semasa lawatan ke Asia Tenggara selama tiga hari bermula Rabu, Bilawal juga akan mengunjungi Singapura bagi membincangkan hubungan dua hala dengan rakan sejawatannya Vivian Balakrishnan selain melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Halimah Yacob.
Lawatan itu "cerminan keutamaan tinggi yang diberikan Pakistan terhadap hubungannya dengan negara-negara ASEAN dan komitmennya untuk mengukuhkan lagi hubungan dengan Indonesia dan Singapura dalam semua bidang kepentingan bersama," menurut kementerian luar.
-- BERNAMA