Menteri Luar Negeri Hungary disahkan positif COVID-19

Khairunnisa Kasnoon
November 4, 2020 22:00 MYT
Sebelum tiba di Thailand untuk lawatan kerjanya, Menteri Luar Negeri dan Perdagangan Hungary, Peter Szijjarto mengadakan lawatan rasmi di Kemboja. - Gambar REUTERS
MENTERI Luar Negeri dan Perdagangan Hungary disahkan positif COVID-19 selepas tiba di Thailand untuk lawatan kerjanya.
Menurut kenyataan rasmi, Menteri Kesihatan Thailand, Anutin Charnvirakul memaklumkan, Peter Szijjarto dan 12 delegasinya menjalani ujian saringan pada Selasa selepas diuji setelah mereka tiba dari Kemboja.
Bagaimanapun hanya Szijjarto didapati positif virus berkenaan.
Menteri Luar itu dihantar ke Institut Penyakit Berjangkit Bamrasnaradura, Thailand untuk rawatan, sementara menunggu pemindahannya untuk kembali ke tanah air.
Beliau yang berusia 42 tahun itu akan menaiki pesawat asing dengan delegasinya.
Lawatan rasmi ke Thailand yang dijadualkan berlangsung selama dua hari itu bertujuan mengeratkan hubungan dua negara, terutama dalam hal ekonomi.
Jadual padat termasuk kunjungan hormat dengan Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha dan bertemu dengan rakan sejawat Szijjarto, Don Pramudwinai, bagaimanapun terpaksa dibatalkan.
Agensi berita Hungary MTI melaporkan, Szijjarto pada mulanya disahkan negatif sebelum mengadakan lawatan kerja ke Asia.
Semenatara itu, dalam lawatan satu harinya ke Kemboja, Szijjarto secara rasmi membuka pejabat satelit kedutaan Hungary dan menandatangani perjanjian kerjasama ekonomi yang merangkumi pengurusan air, pertanian dan perkhidmatan udara.
Semasa lawatannya, beliau melakukan kunjungan hormat kepada Perdana Menteri Hun Sen dan mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Negeri, Prak Sokhonn serta Menteri Perdagangan dan Pertanian.
#Thailand #Asia #Perdana Menteri #COVID-19 #ujian saringan #Hungary #Menteri Luar #Peter Szijjarto #Menteri Luar Negeri #Kemboja
;