Menteri Luar Iran lawat Pakistan dalam usaha pulih hubungan
Bernama
Januari 29, 2024 13:46 MYT
Januari 29, 2024 13:46 MYT
MOSCOW: Menteri Luar Iran Hossein Amirabdollahian mengetuai delegasi diplomatik untuk lawatan rasmi ke Pakistan bagi membincangkan usaha memerangi keganasan dan hubungan dua hala dengan pegawai Pakistan, menurut kenyataan Kementerian Luar Iran pada Ahad, lapor Sputnik.
Semasa lawatan itu, Amirabdollahian akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa Pakistan yang antara lain akan menumpukan kepada hubungan yang positif dan mesra antara kedua-dua negara.
Perbincangan itu bertujuan untuk meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang seperti perdagangan, industri, bidang saintifik, akademik, keselamatan dan tenaga.
Minggu lepas, Kementerian Luar Pakistan berkata diplomat tertinggi negara itu mempelawa Amirabdollahian melawat Islamabad dan menteri luar Iran menerima undangan berkenaan.
Kedua-dua pihak juga akan membincangkan usaha memerangi keganasan di sepanjang sempadan bersama selain usaha mewujudkan keamanan dan keselamatan.
Pada 16 Jan, Kor Pengawal Revolusi Iran melancarkan peluru berpandu balistik dan dron di wilayah Balochistan di barat daya Pakistan dengan mendakwa sasaran mereka adalah pangkalan kumpulan bersenjata Jaish al-Adl.
Pakistan kemudian melancarkan serangan terhadap "tempat persembunyian pengganas" di Sistan dan Baluchestan di Iran.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Pakistan berkata Pakistan menghormati kedaulatan Iran dan integriti wilayah masing-masing.
Serangan itu dilancarkan semata-mata untuk mempertahankan keselamatan dan kepentingan Pakistan.
Pada 26 Jan, duta Iran dan Pakistan kembali menjalankan tugas di negara masing-masing selepas dipanggil pulang sebagai tindak balas terhadap serangan berkenaan.
-- BERNAMA