Menteri Luar Indonesia Marsudi gesa solidariti antarabangsa demi keamanan Palestin

Bernama
Mac 23, 2024 17:46 MYT
Umat Islam yang dapat menyambut Ramadan dengan aman tanpa rasa takut harus rasa bersyukur, kata Marsudi. - Gambar fail/FB
JAKARTA: Menteri Luar Retno Marsudi menekankan solidariti antarabangsa sebagai syarat untuk menamatkan pencerobohan Israel yang berterusan di Semenanjung Gaza dan merealisasikan keamanan di Palestin, lapor Agensi Berita ANTARA.
Umat Islam yang dapat menyambut Ramadan dengan aman tanpa rasa takut harus rasa bersyukur, kata Marsudi pada majlis berbuka puasa "Pejambon Ifthar" di sini.
"Ketika kita berkumpul hari ini dengan selesa dan selamat daripada bahaya, lebih daripada 32,000 rakyat Palestin telah terbunuh di Gaza dan dua juta pelarian, dilucutkan hak mereka untuk tinggal di tanah mereka," kata menteri itu pada majlis yang dihadiri duta asing pada petang Jumaat (22 Mac).
Beliau memetik laporan UNICEF yang melaporkan lebih 13,000 kanak-kanak Palestin dibunuh dalam pencerobohan itu manakala baki mangsa yang terselamat hidup dalam kebuluran.
"Malah mereka tiada tenaga untuk menangis," katanya.
Memandangkan Ramadan merupakan momentum untuk meningkatkan toleransi dan persaudaraan, Marsudi berkata masyarakat antarabangsa perlu mempamerkan solidariti, kerana konsensus untuk menamatkan perang di Gaza masih belum dicapai.
"Patutkah kita, masyarakat global, hanya menangis bagi pihak mereka atau patutkah kita melakukan sesuatu mengenai krisis kemanusiaan yang dahsyat ini?" soal Menteri Luar itu.
"Bagi Indonesia, yang terakhir adalah satu-satunya jawapan logik," tegas Marsudi.
Menteri itu menegaskan bahawa Indonesia komited untuk meringankan beban rakyat Palestin dengan terus menghantar bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan dan meneroka cara untuk memastikan penghantarannya berjalan lancar serta menyalurkan sumbangan tiga kali ganda kepada UNRWA.
Marsudi juga menjelaskan telah menyampaikan kenyataan lisan di hadapan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bagi menyokong prosiding pendapat nasihat mengenai tindakan Israel di Palestin.
Beliau menggalakkan masyarakat global untuk memanfaatkan momentum Ramadan bagi merealisasikan keamanan dunia khususnya di Palestin.
"Marilah kita menyambut Ramadan sebagai masa untuk memangkin usaha kita memperjuangkan keamanan, untuk dialog dan untuk dunia iaitu tiada kanak-kanak perlu menanggung beban konflik," kata Marsudi.
-- BERNAMA
#menteri luar Indonesia #keamanan di Palestin #Pencerobohan Israel #Retno Marsudi #Gaza
;