Menteri Luar Bahrain akan lawat Israel
Bernama
November 17, 2020 12:50 MYT
November 17, 2020 12:50 MYT
MANAMA: Menteri Luar Bahrain, Abdullatif al-Zayani akan melakukan lawatan rasmi pertamanya ke Israel sejak negaranya menjalin hubungan diplomatik dengan Tel Aviv pada September, lapor Agensi Anadolu.
Menurut Agensi Berita Bahrain (BNA), delegasi peringkat tinggi yang diketuai oleh al-Zayani akan berlepas ke Tel Aviv pada Rabu.
Kunjungan itu "akan menjelaskan peluang ekonomi, perjanjian dua hala dengan Israel dan usaha yang bertujuan untuk mencapai kepentingan bersama," menurut BNA.
Tiada perincian lanjut mengenai lawatan al-Zayani ke Palestin.
Pada 15 September, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu bersetuju untuk menjalin hubungan diplomatik, budaya dan komersial sepenuhnya dengan Israel setelah menandatangani perjanjian kontroversi di Rumah Putih.
Perjanjian itu telah mendapat kecaman yang meluas dari rakyat Palestin, yang mengatakan kesepakatan itu mengabaikan hak mereka dan tidak mempedulikan kepentingan Palestin.
--BERNAMA
#Bahrain
#lawatan
#Israel
#Palestin
#Menteri Luar
#Abdullatif al-Zayani
#hubungan diplomatik
#perjanjian