Menteri Luar ASEAN tegaskan sokongan terhadap hak Palestin, seru penyelesaian damai
Bernama
Februari 12, 2025 16:02 MYT
Februari 12, 2025 16:02 MYT
Menteri Luar ASEAN juga menekankan keperluan mendesak bagi penghantaran bantuan kemanusiaan secara menyeluruh, selamat, pantas dan tanpa halangan kepada rakyat Palestin. - Gambar/ Reuters
JAKARTA: Menteri-menteri Luar ASEAN menegaskan sokongan berterusan terhadap hak rakyat Palestin yang tidak boleh dinafikan, termasuk hak menentukan nasib sendiri serta tanah air mereka.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu, para menteri menyeru masyarakat antarabangsa supaya menghormati undang-undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta undang-undang hak asasi manusia.
"Kami menggesa semua pihak yang terlibat agar menyertai dialog yang bermakna untuk mencapai penyelesaian aman dan komprehensif bagi konflik yang berlarutan ini, berdasarkan penyelesaian dua negara selaras dengan undang-undang antarabangsa serta resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) yang berkaitan," menurut kenyataan itu.
Ini termasuk Resolusi UNGA A/RES/ES-10/23 yang diterima pakai pada 10 Mei 2024 dan disokong oleh semua anggota ASEAN.
Para menteri turut menyeru semua pihak agar membina momentum daripada perjanjian gencatan senjata berfasa dan pembebasan tahanan yang bermula pada 19 Jan, serta berusaha mewujudkan keadaan yang kondusif bagi pelaksanaannya secara menyeluruh dan berkesan, dengan matlamat mencapai penyelesaian yang komprehensif.
Mereka juga menekankan keperluan mendesak bagi penghantaran bantuan kemanusiaan secara menyeluruh, selamat, pantas dan tanpa halangan kepada rakyat Palestin, di samping menyokong mandat dan peranan berterusan Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA), serta usaha pembinaan semula segera bagi memperbaiki kehidupan penduduk Gaza.
-- BERNAMA