Menteri Luar ASEAN setuju wujudkan Draf Komuniti ASEAN 20 Tahun

Syafik Shukri Jalil
Julai 25, 2024 18:10 MYT
Mohamad berkata, draf ini berperanan sebagai teras utama kepada komuniti ASEAN dalam membangunkan ekonomi negara masing-masing. - Gambar/ Astro AWANI
VIENTIANE: Menteri-Menteri Luar ASEAN hari ini bersetuju mewujudkan satu Draf Komuniti ASEAN 20 Tahun yang akan bermula pada tahun hadapan sehingga 2045.
Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, draf ini berperanan sebagai teras utama kepada komuniti ASEAN dalam membangunkan ekonomi negara masing-masing selaras dengan visi ASEAN, menjadi kuasa ekonomi yang mencatat Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) keempat dunia menjelang 2030.
‘’Ini merupakan Draf Komuniti ASEAN 20 tahun 2025-2045 dan ia akan menjadi teras kepada komuniti ASEAN... perkara-perkara yang nak dilakukan sebagai satu komuniti negara-negara ASEAN yang besar yang mempunyai penduduk lebih 600 juta.
‘’Dan (mempunyai) Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kelima terbesar dalam dunia dan menjelang 2030 nanti... GDP ASEAN ini akan menjadi GDP keempat terbesar dunia.
‘’Komuniti ASEAN ini (mempunyai visi menjadikan) kawasan pembangunan ekonomi yang paling rancak di dunia dan negara-negara ASEAN mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang baik dan ini merupakan suatu teras yang penting bagi ASEAN untuk kita mewujudkan visi 20 tahun komuniti ASEAN sehingga 2045,’’ katanya.
Tambahnya proses menyiapkan Draf Komuniti ASEAN kini berada di peringkat akhir dan satu mesyuarat peringkat jawatankuasa akan diadakan pada penghujung bulan ini di Melaka.
‘’Kita berharap akan dapat selesaikan draf dan untuk kita tandatangani pada awal tahun depan, kita akan memanggil mesyuarat peringkat jawatankuasa pegawai hujung bulan ini di Malaysia di Melaka untuk kita selesaikan perkara-perkara yang tidak banyak lagi yang nak dipersetujui,’’ ujarnya.
Mohamad berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri sidang pleno sempena hari kedua Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-57 di Ventiane, Laos pada Khamis.
Pada masa sama, Mohamad berkata, Malaysia mencadangkan agar keanggotaan negara Timor Leste dalam blok ASEAN dapat dipertimbang dan disegerakan.
Ini kerana menurutnya, sesebuah negara yang ingin menyertai ASEAN perlu memenuhi 84 instrumen utama sebelum layak menyertai blok tersebut.
‘’Dalam sidang pleno pagi tadi saya telah pun mencadangkan supaya jika nak ditunggu sehingga 84 instrumen ini nak dipenuhi oleh Timor Leste dia akan memakan masa bertahun-tahun.
‘’Jadi saya bagi pihak Malaysia kita mencadangkan kepada rakan-rakan ASEAN jika boleh Timor Leste ini memenuhi 25 peratus dahulu daripada 84 instrumen tersebut.
‘’Ini akan dibincangkan di peringkat jawatankuasa untuk kita membantu, Malaysia sedia membantu untuk memastikan Timor Leste dapat dengan segera menjadi anggota kepada ASEAN,’’ ujarnya lagi.
Timor Leste pada 2023 menyertai mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN (ACC) ke-32 di Jakarta buat pertama kali sebagai negara pemerhati.
#Menteri Luar ASEAN #Mohamad Hasan #Timor Leste #Draf Komuniti ASEAN
;