Menteri Luar Arab bincang konflik Syria, Sudan Ahad ini
Astro Awani
Mei 5, 2023 09:30 MYT
Mei 5, 2023 09:30 MYT
MENTERI Luar Negara Arab akan bertemu di Liga Arab di Kaherah, Mesir pada Ahad bagi membincangkan konflik di Syria.
Menurut jurucakap Liga Arab, Gamal Roshdy, perkembangan itu menyusul ketika mana desakan serantau semakin meningkat untuk usaha menormalisasikan hubungan dengan Presiden Syria Bashar al-Assad selepas lebih sedekad terpisah.
Keahlian Syria dalam Liga Arab digantung pada 2011 selepas tindakan keras diambil Assad ke atas protes jalanan yang membawa kepada perang saudara yang dahsyat ketika itu.
Susulan perkembangan berkenaan, banyak negara Arab menarik keluar wakil atau utusan mereka dari Damsyik.
Baru-baru ini, beberapa negara Arab termasuk Arab Saudi dan Mesir terbabit semula dengan Syria dalam lawatan dan mesyuarat peringkat tinggi.
Bagaimanapun beberapa negara, termasuk Qatar, tetap menentang normalisasi penuh tanpa penyelesaian politik kepada konflik Syria.
Negara-negara Arab belum mencapai kata sepakat sama ada untuk menjemput Assad ke Sidang Kemuncak Liga Arab pada 19 Mei ini di Riyadh, untuk membincangkan tahap normalisasi hubungan.
Selain itu, liga turut membincang bentuk terma yang boleh diguna pakai apabila mahu membenarkan Syria kembali menganggotai Liga Arab.
Arab Saudi sudah lama menentang memulihkan hubungan dengan Assad tetapi selepas hubungan rapatnya baru-baru ini dengan Iran, sekutu utama Syria, ia menyatakan bahawa pendekatan baharu diperlukan dengan Damsyik.
Dalam pada itu, Menteri-Menteri Luar Liga Arab juga dijangka mengadakan mesyuarat berasingan pada hari sama bagi menangani konflik yang tercetus di Sudan bulan lalu.
Situasi di Sudan tidak menunjukkan tanda reda, sebaliknya makin meruncing menyebabkan wakil warga asing keluar berduyun-duyun meninggalkan negara berkenaan.
Sehingga kini, proses membawa keluar warga asing dari Sudan masih berjalan ketika mana pertempuran antara dua pihak tentera yang bertelagah terus berpanjangan.