Menteri Libya selamat daripada cubaan bunuh di Tripoli

Bernama
Februari 12, 2025 22:07 MYT
Adel Jumaa cedera dalam serangan selepas lelaki bersenjata yang tidak dikenali melepaskan tembakan ke arah kenderaannya. - Facebook Adel Jumaa
TRIPOLI: Menteri Negara bagi Hal Ehwal Kabinet Libya Adel Jumaa, selamat daripada percubaan membunuhnya pada Rabu di ibu negara, Tripoli.
Menteri itu cedera dalam serangan selepas lelaki bersenjata yang tidak dikenali melepaskan tembakan ke arah kenderaannya di kawasan Gargour, Tripoli, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Jumaa dimasukkan ke hospital dan keadaannya "tidak serius."
Kerajaan Perpaduan Nasional Libya mengutuk keras serangan itu dan menegaskan "tidak akan bertoleransi terhadap sebarang percubaan untuk mengancam keselamatan dan kestabilan negara."
Kerajaan mengesahkan, menteri itu dalam keadaan 'stabil' dan pihak berkuasa melancarkan siasatan untuk mengesan pelaku.
Percubaan membunuh menteri itu berlaku ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pihak dalaman cuba membawa negara itu untuk mengadakan pilihan raya bagi menyelesaikan krisis antara dua kerajaan yang bersaing.
Satu ialah Kerajaan Perpaduan Nasional, yang diketuai oleh Abdul Hamid Dbeibeh dan berpusat di Tripoli, yang mentadbir bahagian barat negara itu dan diiktiraf oleh PBB.
Manakala satu lagi ialah Dewan Perwakilan yang diwujudkan pada awal 2022, diketuai oleh Osama Hamad dan berpusat di Benghazi yang mentadbir bahagian timur negara itu dan sebahagian besar kawasan selatan.
Rakyat Libya berharap pilihan raya yang lama ditunggu-tunggu akan membawa kepada tamatnya konflik politik dan bersenjata dan mengakhiri tempoh peralihan yang berlaku selepas rejim Muammar Gaddafi digulingkan, yang memerintah Libya dari 1969 hingga 2011.
-- BERNAMA
#cubaan bunuh #menteri libya #adel jumaa #Tripoli #tembakan
;