Menteri Korea Utara janji sokong penuh Rusia dalam perang di Ukraine

Bernama
November 1, 2024 23:58 MYT
Choe mendakwa Amerika Syarikat dan sekutu Barat Ukraine menjalankan perang jangka panjang terhadap Rusia dengan membekalkan senjata. - Gambar Reuters
MOSCOW: Menteri Luar Korea Utara Choe Son Hui berjanji untuk membantu Rusia dalam perang melawan Ukraine "sehingga hari kemenangan" semasa perbincangan dengan rakan sejawatnya Sergei Lavrov di Moscow pada Jumaat, lapor agensi berita Jerman (dpa).
"Kami sekali lagi berjanji bahawa kami akan sentiasa berdiri teguh di sisi rakan seperjuangan Rusia kami sehingga hari kemenangan," kata Choe dalam pertemuan itu berdasarkan terjemahan kenyataannya dalam bahasa Rusia.
Lavrov merujuk kepada kerjasama rapat antara tentera dan perkhidmatan keselamatan kedua-dua negara di tengah-tengah laporan mengenai penempatan ribuan tentera Korea Utara di Rusia berhampiran sempadan dengan Ukraine.
Choe mendakwa Amerika Syarikat dan sekutu Barat Ukraine menjalankan perang jangka panjang terhadap Rusia dengan membekalkan senjata.
Pyongyang tidak meragui "bahawa tentera dan rakyat Rusia di bawah kepimpinan bijaksana Presiden Vladimir Vladimirovich Putin pasti akan meraih kemenangan besar dalam perjuangan mutlak mereka untuk mempertahankan hak kedaulatan dan kepentingan keselamatan negara," katanya.
Pada Khamis, Rumah Putih menyatakan bahawa sehingga 8,000 tentera Korea Utara telah ditempatkan di Wilayah Kursk, Rusia, yang bersempadan dengan Ukraine. Wilayah itu menjadi sasaran serangan mengejut oleh tentera Ukraine awal tahun ini.
Washington mengandaikan bahawa tentera Korea Utara itu akan segera dikerahkan untuk berperang dan meramalkan lebih ramai mungkin akan menyusul.
Putin tidak menafikan kehadiran mereka dan menyatakan bahawa Ukraine juga menggunakan askar dari negara-negara anggota NATO.
Korea Utara telah membekalkan peluru berpandu dan peluru selama beberapa bulan kepada Rusia, yang melancarkan serangan besar-besaran ke atas Ukraine pada 24 Feb 2022.
-- BERNAMA
#Korea Utara #peluru berpandu #NATO #keselamatan negara
;