Menteri Kewangan Pakistan letak jawatan

Bernama
September 26, 2022 14:26 MYT
Miftah dan Shehbaz kini masih berada di London dan dijangka pulang ke Pakistan awal minggu depan. - Foto REUTERS
ISLAMABAD: Miftah Ismail yang sebelum ini dilantik sebagai Menteri Kewangan di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif, mengumumkan peletakkan jawatannya.
"Saya telah meletak jawatan secara lisan sebagai menteri kewangan. Saya akan mengemukakan surat peletakan jawatan secara rasmi apabila tiba di Pakistan.
"Satu penghormatan untuk berkhidmat sebanyak dua kali sebagai menteri kewangan," kata Miftah menerusi Twitter pada malam Ahad.
Ahli perniagaan berusia 57 tahun itu sebelum ini mengetuai Kementerian Kewangan pada 2018.
Miftah membuat pengumuman itu selepas beliau dan Shehbaz mengadakan pertemuan dengan bekas perdana menteri Nawaz Sharif yang juga ketua Liga Muslim Pakistan-Nawaz (PML-N) di Britain.
Nawaz, abang Shehbaz, tinggal di London sejak November 2019 untuk menjalani rawatan perubatan di luar negara.
Kerajaan campuran pimpinan Shehbaz yang baharu berusia lima bulan, sedang berdepan beberapa masalah ekonomi, termasuk kadar inflasi yang meningkat, rizab pertukaran asing semakin berkurangan, dan membina semula infrastruktur yang musnah akibat banjir baru-baru ini.
-- BERNAMA
#Miftah Ismail #Menteri Kewangan Pakistan #Shehbaz Sharif #Pakistan
;