Menteri Keselamatan Buenos Aires cedera diserang penunjuk perasaan

Bernama
April 4, 2023 16:03 MYT
Pihak polis dan pegawai antirusuhan cuba menyelamatkan Berni dan membawa beliau ke hospital. - Gambar fail/ FB Sergio Berni
BUENOS AIRES: Menteri Keselamatan Buenos Aires Sergio Berni cedera selepas diserang penunjuk perasaan yang mengadakan protes di ibu negara Argentina itu pada Isnin, lapor Agensi Anadolu.
Sekumpulan pekerja pengangkutan melancarkan protes 24 jam dengan berkumpul di persimpangan Juan Manuel de Rosas Avenue dan Avenida General Paz sebagai bantahan terhadap kematian seorang pemandu bas.
Rakaman yang disiarkan oleh saluran televisyen C5N menunjukkan Berni bersama beberapa anggota polis berjalan menghampiri orang ramai dan cuba memberi taklimat kepada mereka tentang siasatan ke atas insiden itu dan meyakinkan mereka supaya menghentikan protes.
Namun penunjuk perasaan yang berang bertindak menjerit dan membaling batu ke arah Berni, sebelum menerpa ke arah menteri luar itu dan memukulnya.
Pihak polis dan pegawai antirusuhan cuba menyelamatkan Berni dan membawa beliau ke hospital.
Berni dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian kepala serta pipi dan sedang menjalani pemeriksaan lanjut untuk menentukan sama ada perlu menjalani pembedahan atau sebaliknya.
Beliau turut mengesahkan kepada pihak media, tidak akan meletakkan jawatan berikutan insiden itu.
Lapan anggota polis yang menyuraikan protes itu dan tiga pemandu bas turut cedera.
Bantahan pada Isnin berlaku selepas pemandu bas Daniel Barrientos,65, yang akan bersara dalam tempoh sebulan, ditembak awal pagi Isnin selepas dirompak di dalam bas, menurut harian tempatan El Cronista.
Seorang pegawai polis juga dilaporkan berada di dalam bas itu. Penyerang berjaya melarikan diri.
Pihak polis kemudian menahan seorang suspek, menurut harian tempatan Infobae.
-- BERNAMA
#menteri cedera #Penunjuk perasaan #Argentina #Buenos Aires
;