Menteri Kabinet Perang Israel, Benny Gantz letak jawatan
Agensi
Jun 9, 2024 06:30 MYT
Jun 9, 2024 06:30 MYT
TEL AVIV: Menteri Kabinet Perang Israel, Benny Gantz meninggalkan kerajaan darurat sebagai tanda perpecahan yang semakin ketara berhubung rancangan pasca konflik Perdana Menteri Benjamin Netanyahu untuk Gaza.
Dalam sidang akhbar di sini, pada Ahad, Gantz mengumumkan peletakan jawatan itu dibuat dengan "hati yang berat."
"Malangnya, Netanyahu menghalang kami daripada menghampiri kemenangan sebenar, yang merupakan justifikasi bagi krisis berterusan yang menyakitkan," katanya.
Dianggap oleh sesetengah pihak sebagai bakal pencabar kuasa di Israel, Gantz turut menuntut Netanyahu untuk menetapkan tarikh pilihan raya.
Dalam reaksi terhadap keputusan Gantz itu, Netanyahu membalasnya dalam hantaran di akaun media sosial X: "Benny, ini bukan masa untuk berhenti daripada kempen, ini adalah masa untuk bergabung tenaga."
Ketua Pembangkang Israel, Yair Lapid pula menyokong keputusan Gantz yang disifatkan beliau sebagai "penting dan betul."
Sejurus pengumuman dibuat Gantz, Menteri Keselamatan Negara sayap kanan, Itamar Ben-Gvir menuntut kedudukan dalam Kabinet Perang.
Ben-Gvir merupakan sebahagian daripada gabungan sayap kanan yang mengancam untuk berhenti dan meruntuhkan kerajaan jika Israel menerima cadangan gencatan senjata yang dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden.
Bulan lalu, Gantz menetapkan tarikh akhir pada 8 Jun untuk Netanyahu membentangkan bagaimana Israel akan mencapai enam "matlamat strategik" termasuk menamatkan pemerintahan Hamas di Gaza serta penubuhan pentadbiran awam multinasional untuk wilayah itu.
Seorang jeneral tentera yang bersara dan kerap mengkritik Netayanhu, Gantz pernah menjadi ahli "Kabinet Perang" pembuat keputusan utama Israel bersama dengan Perdana Menteri Netanyahu dan Menteri Pertahanan, Yoav Gallant.
Dalam sidang media itu juga, Gantz berkata, beliau bukan sahaja secara peribadi meletak jawatan daripada kerajaan, tetapi juga mengundurkan diri dari parti Perpaduan Nasional yang dipengerusikannya.
Tindakan itu, bagaimanapun, tidak akan menjatuhkan kerajaan Israel, kerana Netanyahu masih akan memegang majoriti selesa 64 dalam Knesset yang mempunyai 120 kerusi.
Namun begitu, senario berkenaan akan meminggirkan Perdana Menteri dan mendedahkan perpecahan politik yang mendalam mengenai cara beliau mengendalikan peperangan.
Peletakan jawatan itu juga berlaku sehari sebelum Setiausaha Negara AS, Antony Blinken mengadakan lawatan tiga hari ke rantau itu.
Blinken turut merancang untuk melawat Israel, Mesir, Jordan dan Qatar bagi mendesak perjanjian gencatan
senjata.
Pengaruh Gantz dalam kerajaan dilihat sangat meluas sebagai pengimbang dengan pengaruh ahli sayap kanan pakatan Netanyahu. - Agensi