Menteri Israel meraikan pembunuhan Ismail Haniyeh
Astro Awani
Julai 31, 2024 04:50 MYT
Julai 31, 2024 04:50 MYT
Menteri Warisan Israel Amichai Eliyahu berkata pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh, "menjadikan dunia lebih baik".
"Tiada belas kasihan untuk manusia ini," tulis Eliyahu dalam catatan di X.
"Tangan besi yang akan memukul mereka, adalah yang akan membawa keamanan dan sedikit keselesaan dan menguatkan keupayaan kita untuk hidup aman dengan mereka yang inginkan keamanan," katanya.
Media antarabangsa hari ini melaporkan, Ismail dilaporkan dibunuh di ibu negara Iran, Tehran.
Pimpinan Hamas dalam satu kenyataan yang dikeluarkan mengesahkan Haniyeh dibunuh dalam satu serangan rejim Zionis di kediaman beliau di Tehran.
Sementara itu, Al Jazeera melaporkan pengawal Revolusi Iran memaklumkan, Haniyeh terbunuh bersama seorang pengawal peribadinya.
Kenyataan sama menambah siasatan berhubung pembunuhan pemimpin tertinggi Hamas itu akan diumumkan tidak lama lagi.