Menteri Islam British letak jawatan ekoran polisi Gaza

AFP
Ogos 6, 2014 12:30 MYT
Sayeeda Warsi - (AP Photo/B.K. Bangash/File)
Seorang menteri di Kementerian Luar Britain yang merupakan orang Islam pertama dilantik menganggotai kabinet negara itu meletakkan jawatan pada Selasa ekoran apa yang dianggapnya polisi kerajaan yang “tidak dapat dipertahankan dari segi moral” berhubung situasi di Gaza.
Keputusan mengejutkan oleh Sayeeda Warsi, yang juga bertanggungjawab terhadap portfolio agama dan komuniti, memberikan tekanan kepada Perdana Menteri David Cameron untuk mengenakan syarat lebih keras terhadap Israel berhubung tindakan ketenteraan di Gaza.
Kerajaan gabungan, didokongi parti pembangkang utama Parti Buruh, berdepan kritikan berterusan kebelakangan ini kerana tidak menyuarakan bangkangan keras terhadap konflik tersebut.
“Pendekatan kita... di Gaza tidak dapat dipertahankan lagi secara moral, tiada kepentingan kepada Britain dan mempunyai impak jangka panjang terhadap reputasi kita di dalam dan di luar negara,” Warsi menulis kepada Cameron dalam surat perletakan jawatannya.
Beliau berkata ada “rasa kurang senang” di Kementerian Luar, di mana Philip Hammond mengambil alih sebagai Setiausaha Luar Negara daripada William Hague bulan lepas, tentang bagaimana keputusan polisi terkini itu dicapai.
“Hampir 400 kanak-kanak tidak bersalah terbunuh, tiada perkataan yang dapat menggambarkan kecaman kami terhadap tindakan ini,” beliau memberitahu saluran berita Channel 4, sambil berkata ada rasa “kurang senang” di kalangan ahli Parti Konservatif dan bahawa ada ura-ura seorang lagi menteri bakal meletak jawatan.
Cameron, dalam surat jawapannya terhadap isu perletakan jawatan tersebut, menyatakan kekesalannya terhadap Warsi kerana tidak memaklumkan kepadanya akan keputusan tersebut sebelum menguar-uarkannya di Twitter.
“Saya faham perasaan anda terhadap krisis terkini di Asia Barat – situasi di Gaza amat keterlaluan,” kata Cameron.
Beliau menambah: “Sudah tentu, kami percaya Israel berhak mempertahankan dirinya.
“Tetapi, kami secara konsisten, jelas akan kebimbangan terhadap jumlah kematian orang awam yang banyak dan telah menyeru Israel untuk membataskannya, serta mencari jalan untuk menghentikan persengketaan ini.”
Cameron mengucapkan terima kasih kepada Warsi atas khidmatnya, dan berkata beliau seharusnya berasa bangga atas "kejayaannya” terutama sekali kerana menjadi wanita Islam pertama di dalam kabinet British.
Menteri-menteri lain pula mempersoalkan pemilihan masa untuk perletakan jawatannya, ketika gencatan senjata 72 jam sedang berlangsung di Gaza ekoran pertempuran selama empat minggu.
“Agak mengejutkan beliau memilih saat dan tika ini untuk mengambil tindakan tersebut sedangkan kita akhirnya melihat kemajuan dalam isu ini yang begitu dibimbanginya,” kata Hammond.
Menteri Kewangan George Osborne, rakan karib Cameron, menganggap perletakan jawatan Warsi "mengecewakan dan tidak sepatutnya berlaku".
Membisu terhadap Gaza
Timbalan Perdana Menteri Nick Clegg, pemimpin parti Demokrat Liberal, walau bagaimanapun menyatakan sokongan terhadap kebimbangan Warsi dan menyeru lesen pengeksportan senjata ke Israel digantung.
“Tindakan tentera Israel... melanggar syarat lesen eksport dan sebab itulah kita mahu ia digantung sebelum kajian semula secara lebih meluas sama ada ia patut ditarik balik secara tetap untuk jangka masa panjang," kata Clegg.
Pejabat Perdana Menteri pada Isnin berkata ia sedang mengkaji semula lesen tersebut, tetapi Clegg berkata satu pengumuman akan dibuat “dalam masa terdekat.”
Populariti Warsi semakin suram beberapa tahun kebelakangan, namun beliau dahulunya merupakan contoh berprofil tinggi bagi menjayakan cita-cita Cameron untuk mencorak parti Konservatif-nya daripada terus dilabel sebagai parti kulit putih lelaki.
Ibu bapa Warsi merupakan pendatang Pakistan dan beliau seorang peguam terlatih sebelum dilantik sebagai ahli Parlimen di Dewan Pertuanan pada tahun 2007.
Beliau dilantik ke kabinet Cameron – kalangan menteri kerajaan yang berkuasa – apabila kerajaan campurannya memegang tampuk kuasa pada tahun 2010, namun diketepikan pada tahun 2012.
Warsi, di laman sesawangnya, menggambarkan dirinya "dikenali sebagai wanita Islam pertama berkhidmat di dalam kabinet British dan ahli politik Islam terutama di dunia barat."
Pemimpin parti Buruh Ed Miliband minggu lepas mengecam Cameron ekoran tindakannya yang membisu terhadap penderitaan rakyat Palestin di dalam konflik yang telah meragut nyawa sekurang-kurangnya 1,867 warga Palestin dan 67 rakyat di Israel.
Miliband berkata pada Selasa: "Saya rasa Warsi bertindak penuh prinsip dan integriti. Masyarakat sekitar Britain terkejut dengan penderitaan yang dialami di Gaza.
"David Cameron berhak mengecam Hamas sebagai organisasi pengganas, tetapi beliau perlu bersuara terhadap tindakan Israel yang melampau."
Cameron pada Isnin berkata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu "berhak" mengecam serangan udara berhampiran sebuah sekolah di Rafah pada Ahad yang meragut nyawa 10 orang tetapi tidak menyatakan sama ada beliau berpendapat ia satu tindakan "jenayah.”
#Cameron #david #Gaza #menteri #Palestin #Sayeeda #UK #Warsi
;