Menteri Indonesia cabar Mark Zuckerberg mendayung di atas papan luncur
Saraya Mia
Julai 10, 2019 19:25 MYT
Julai 10, 2019 19:25 MYT
SEORANG menteri kabinet Indonesia telah mencabar pengasas Facebook, Mark Zuckerberg dalam perlawanan sukan air 'mendayung dia atas papan luncur' melalui sebuah entri di Instagram.
Menteri Hal Ehwal Maritim dan Perikanan Indonesia, Susi Pudjiastuti memuat naik entri itu pada gambar Mark yang sedang mendayung di Tasik Tahoe, Amerika Syarikat baru-baru ini.
Entri tersebut telah mendapat lebih 64,000 tanda suka serta lebih 6,000 komen daripada para netizen.
Susi menyatakan bahawa jika beliau dapat mengalahkan Mark dalam perlumbaan itu, 'ganjarannya' adalah 10 peratus daripada saham syarikat Facebook.
Tambah Susi, saham itu akan djual semula untuk digunakan bagi membeli kapal peronda lebih besar demi melindungi perairan Indonesia daripada aktiviti perikanan haram.
Dana itu juga, menurut Susi, dapat digunakan bagi membeli 1,000 bot nelayan untuk kegunaan komuniti tersebut bagi memperoleh hasil tangkapan serta pendapatan yang lebih baik.
Susi dikenali sebagai menteri yang terkenal dengan kelantangan suara dan tindakannya. Sebelum ini, Susi diingati dengan arahan menenggelamkan bot atau kapal yang menceroboh perairan Indonesia, sekali gus menjejaskan hasil negara dan pendapatan nelayan tempatan.