Menteri harap Iron Maiden, Metallica kembali lagi buat konsert di Indonesia
Astro Awani
Mac 20, 2023 07:45 MYT
Mac 20, 2023 07:45 MYT
JAKARTA: Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia, Sandiaga Uno berharap kumpulan muzik heavy metal legenda dunia, Iron Maiden dan Metallica akan kembali sekali lagi ke negara itu untuk mengadakan konsert.
Harapan itu disuarakan Sandiaga susulan kejayaan pementasan kumpulan dari Amerika Syarikat, Slipknot yang menarik perhatian ribuan peminat mereka ketika di pusat riadah Ancol, Jakarta, pada hujung minggu lalu.
Kejayaan konsert itu turut disifatkan sebagai petanda baik untuk sektor yang dikategorikan sebagai ‘pelancongan muzik’.
“Harapan saya Iron Maiden dan Metallica akan kembali ke Indonesia,” kata Sandiaga seperti dilaporkan portal berita Jakarta Globe.
Kali terakhir Metallica dan Iron Maiden beraksi di Indonesia ialah masing-masing pada 2013 dan 2011.
Awal bulan ini, band masyhur dari Britain, Deep Purple mengadakan konsert di Jawa Tengah yang turut ditonton Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi).
Presiden Jokowi sememangnya diketahui ramai sebagai seorang peminat muzik rock.