Menteri EU dan Indo-Pasifik bincang isu keselamatan
Bernama
Mei 13, 2023 17:54 MYT
Mei 13, 2023 17:54 MYT
STOCKHOLM: Menteri dan wakil Kesatuan Eropah (EU) pada Sabtu mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatan dari wilayah Indo-Pasifik di Stockholm yang antara lain menumpukan kepada isu cabaran keselamatan dan kerjasama ekonomi, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Kira-kira 30 delegasi, termasuk dari India, Jepun dan Australia dipelawa menyertai rundingan itu manakala China dan Taiwan tidak mengambil bahagian.
Rantau itu menjana kira-kira 60 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia dan diunjurkan menghasilkan 67 peratus pertumbuhan KDNK pada 2023.
EU mengharapkan kerjasama ekonomi dengan negara-negara berkenaan untuk menentang konfrontasi, memandangkan Laut China Selatan dan Selat Taiwan yang menjadi laluan penting untuk aliran perdagangan global turut menjadi arena peningkatan ketegangan geopolitik.
Menteri-menteri berkenaan dijangka membincangkan pelbagai cabaran keselamatan yang melanda rantau itu, termasuk mengenai pertumbuhan yang mampan dan inklusif serta langkah memerangi perubahan iklim.
--BERNAMA-dpa